Lebih ramai sukarelawan diperlukan untuk menjayakan projek tanah bencah, burung air

0

MIRI: Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Miri dan Majlis Pemuliharaan Burung-burung (BCC) memerlukan lebih ramai penggemar atau pakar untuk menjadi sukarelawan bagi menjayakan Tinjauan Habitat Tanah Ben-cah (Wetland) dan Burung Air di sepanjang pantai utara Sarawak tahun ini.

Ketua kumpulan yang juga Pengerusi MNS Miri, Nazeri Abghani berkata, setakat ini mereka hanya mempunyai enam sukarelawan dan kese-muanya dari Semenanjung Malaysia manakala 16 lagi krew terdiri daripada ahli MNS Miri dan Bintulu.

“Kita memerlukan lebih ramai sukarelawan dari Sarawak terutama mereka yang mempunyai idea menarik dan pengetahuan luas mengenai burung. Ini penting kerana tinjauan tersebut merupakan projek komprehensif yang julung kali kita laksanakan di bahagian Miri, Bintulu dan Limbang,” katanya.

Nazeri menambah, tinjauan itu akan diadakan di bahagian Miri (7-12 Januari), Bintulu (13- 17 Januari) diikuti Limbang dan Lawas (5-13 Februari) tahun depan.

Orang ramai yang berminat untuk menjadi sukarelawan boleh menghubungi beliau di talian 016-8542212 atau pejabat MNS cawangan Miri 085-453185 atau emel di [email protected].

Nazeri mengingatkan, mereka yang berminat menjadi sukarelawan harus sihat dan cergas dari segi fizikal dan mental kerana tinjauan itu dilakukan di kawasan yang terpencil dan mencabar.

“Sebagai contoh, tempat seperti Tanjong Payong di Suai Niah, Miri perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda kemudian berperahu menyeberangi sungai sebelum sampai ke destinasi. Selain itu, bakal sukarelawan harus membiasakan diri dengan hutan,” katanya.

Data yang dikumpul akan membantu Wetlands International selaku penganjur dalam merancang langkah perlin-dungan dan pemuliharaan semua spesies burung termasuk burung air dan habitat tanah bencah di sepanjang pantai Miri.

Antara spesies burung yang dikenal pasti singgah di Miri ialah pekaka, rajawali, kenyalang hitam Asia, layang-layang Pasifik dan ‘eurasian tree sparrows’.

“Program ini diharap dapat menyemai minat orang awam terutama generasi muda untuk sama-sama memulihara dan melindungi spesies burung air dan tanah bencah,” katanya sambil menambah hasil tinjauan ini akan digunakan rujukan untuk kawasan lain di Malaysia.

Menurut Nazeri, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri termasuk Sarawak Forestry Corporation (SFC), Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Jabatan Pengairan dan Saliran dan syarikat swasta seperti Sarawak Shell Berhad, Brunei Shell Petroleum  dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  termasuk badan tanah bencah antarabangsa.