Pemilik kedai DVD didenda RM37,000 miliki bahan lucah

0

KOTA KINABALU: Seorang pemilik kedai DVD dijatuhkan hukuman denda RM37,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin atas lima kesalahan memiliki bahan lucah dan filem yang belum ditapis.

Majistret Nuruhuda Mohd Yusof menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Johnny Yee Chi Khien, 30, selepas mengaku bersalah bagi setiap kesalahan terbabit.

Kesalahan pertama, dia didakwa memiliki 34 filem lucah dalam bentuk cakera keras komputer di kedai Neddy Station, Asia City di sini.

Johnny melakukan kesalahan itu kira-kira jam 1.45 petang pada 2 November tahun lalu. Untuk itu, dia dikenakan hukuman denda RM11,000 atau lapan bulan penjara.

Kesalahan kedua, pada masa dan tempat yang sama, dia dikenakan denda RM12,000 atau sembilan bulan penjara atas kesalahan memiliki 74 bahan lucah dalam cakera keras komputer berasingan.

Bagi setiap kesalahan berkenaan, Johnny didakwa mengikut Seksyen 5 (1) ( a ) Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara bagi kesalahan ketiga dan keempat, dia didakwa memiliki 229 filem dan 255 filem dalam keping DVD yang belum diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem. Bagi setiap kesalahan terbabit, dia dikenakan hukuman denda RM6,000 atau lima bulan penjara.

Untuk kesalahan kelima, dia didenda RM2,000 atau dua bulan penjara atas kesalahan mempamerkan 188 filem DVD yang belum diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem, pada hari dan tempat yang sama.

Setiap kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (a) Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Azrey Ariffin dari Kementerian Dalam Negeri.