Lagi laporan polis dibuat terhadap ADUN Seri Muda

0

SHAH ALAM: Sembilan Orang Besar Daerah Selangor semalam membuat laporan polis berhubung kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei yang dianggap memperlekehkan kuasa Sultan Selangor dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) baru menerusi laman blognya.

Orang Besar Daerah Gombak, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh, yang mewakili semua Orang Besar Daerah di negeri ini berkata kenyataan Shuhaimi dalam tulisan blognya yang disiarkan 30 Disember lepas, seolah-olah mengheret institusi raja terutama Sultan Sharafuddin Idris Shah ke kancah politik dalam tindakan baginda memberi perkenan kepada pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK Selangor yang baru.

“Nama Tuanku (Sultan) tidak boleh diseretkan ke dalam apa jua perselisihan politik. Apabila nama Tuanku diseretkan dengan kata-kata tidak sopan (melibatkan pelantikan SUK baru), kami berasa orang itu patut dibawa ke tengah supaya pendapat tidak baik ini dipatah daripada tunas sebelum ia merebak.

“ADUN Shuhaimi tidak patut mengheret Raja negeri ke dalam isu pelantikan ini semata-mata untuk memuaskan nafsu politiknya,” katanya selepas membuat laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Seksyen 6 di sini.

Wan Mahmood berkata Shuhaimi tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata yang boleh dianggap menghina institusi Raja dalam laman blognya seperti “Sultan beraja di mata, bersultan di hati” semata-mata untuk memuaskan nafsu politiknya.

“Kata-kata ini tidak patut dilafazkan oleh seorang ahli politik dan wakil rakyat matang, apatah lagi oleh seorang Melayu seperti Shuhaimi. Orang Melayu berpegang kepada adat sopan dan adat beraja. Perkataan seperti ini tidak harus keluar walau apapun matlamat kita,” katanya.

Beliau juga meminta polis menyiasat kes Shuhaimi mengikut Seksyen 3 dan 4 Akta Hasutan 1948.

Dalam laman blog http://srimuda.blogspot.com, Shuhaimi antara lain, mendakwa jawatan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor dan sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan, bukannya berkecuali. — Bernama