Saturday, December 4

Bekas tentera merindui adik selepas 40 tahun terpisah

0

SIBU: Setelah 40 tahun meninggalkan kampung halaman iaitu Kampung Padang Luas, Triang, Pahang, seorang bekas tentera amat merindui adik-beradiknya, setelah terputus hubungan sejak dia membawa diri ke Sarawak pada 1970.

Mohd Noor Abdullah, 62, terputus hubungan dengan ahli keluarganya yang lain selepas menyertai angkatan tentera pada 4 Januari 1969 di bawah 1 Askar Melayu, ketika usianya baru 20 tahun.

“Saya merayu kepada adik adik serta saudara mara yang masih mengenali supaya menghubungi saya,” ujarnya kepada pemberita petang kelmarin dengan suara yang tersedu-sedan serta hampir menitiskan air mata.

Mohd Noor yang amat rindu untuk bertemu dengan tiga adiknya serta saudara mara yang lain, difahamkan tidak pernah pulang ke Pahang selepas berkhidmat di negeri ini sehingga tamat perkhidmatan pada 1987, dengan tempat terakhir dia berkhidmat di Rascom.

Tiga saudara yang ingin dihubunginya ialah Halimah Abdullah, Asnah Abdullah dan Aisyah Abdullah, yang beliau sendiri tidak pasti di mana mereka berada.

“Selepas bersara, saya pernah menghantar surat ke kampung halaman dengan pos laju, namun tidak ada balasan,” katanya yang kini hilang tempat bergantung hidup selepas ditinggalkan isteri serta anak-anaknya.

Setelah menamatkan perkhidmatan, Mohd Noor berkahwin dengan seorang wanita Iban dari Kanowit pada 1988 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Selepas itu, dia melakukan pelbagai pekerjaan termasuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di Bintulu.

Namun nasib malang mula menimpa dirinya apabila dia diserang angin ahmar (strok) ketika bertugas, menyebabkannya lumpuh separuh badan pada September 2009 dan dimasukkan ke Hospital Bintulu.

Ibarat kata pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga, semasa mendapatkan rawatan di Hospital Bintulu, Mohd Noor ditinggalkan oleh isterinya yang difahamkan telah lari mengikut seorang lelaki warganegara asing serta membawa bersama dua orang anaknya.

Setelah sembuh, dia dirujuk ke Rumah Seri Kenangan di Kuching sebelum diarah keluar pada 18 Jun 2010, setelah salah seorang daripada anaknya berjaya dihubungi, yang kemudian membawanya pulang ke Sibu.

Sekali lagi nasib malang menimpa apabila dia ditinggalkan pula oleh anaknya pada Disember lepas, memaksanya kini tinggal bersama saudara isterinya di No.60B, Lorong 20, Jalan Tiong Hua.

Oleh kerana sangat memerlukan bantuan serta bantuan mereka yang mengenalinya, Mohd Noor telah diarah untuk pergi ke pejabat Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Sibu di Jalan Tuanku Osman.

Dia yang terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan kerana lumpuh separuh badan, difahamkan telah keluar dari rumah di Jalan Tiong Hua kira-kira jam 4 pagi untuk pergi ke pejabat PBTM di sini.

“Bukan apa, jika lewat turun jalan mungkin sesak dengan kenderaan. Saya bukannya dapat bergerak dengan cepat,” ujarnya yang mengambil masa tiga jam untuk sampai ke pejabat PBTM, yang hanya terletak kurang tiga kilometer dari tempat tinggalnya.

Setibanya di pejabat PBTM, Mohd Noor telah bertemu dengan Yang Dipertua PBTM Sibu Thomas Ling, untuk merayu bantuan walaupun beliau bukan seorang ahli PBTM Sibu.

Bagaimanapun Ling tetap membantunya dengan merujuk masalahnya ke Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) serta membantu proses  menempatkannya di Rumah Seri Kenangan Sibu.

“Jika boleh, saya mahu ditempatkan di Rumah Seri Kenangan kerana tiada orang lagi menjaga. Mungkin selepas ditempatkan di situ, anak-anak saya boleh datang menjenguk,” ujar Mohd Noor dengan suara yang sayu.

Di samping itu, beliau juga menyeru bekas-bekas tentera yang masih belum menyertai PBTM, agar berbuat demikian dengan segera demi kebaikan diri sendiri serta ahli keluarga mereka.

“Jangan jadi macam saya, sudah terhantuk baru tengadah,” katanya sambil berterima kasih kepada PBTM Sibu yang telah sudi membantu menyelesaikan sedikit sebanyak masalahnya.

Bagi yang mengenali Mohd Noor boleh menghubungi pejabat PBTM Sibu di talian 084-349755 atau Thomas Ling (013-8017056).