Bomba fokuskan 2 strategi

0

Ia bagi menangani dan mencegah kebakaran dengan lebih berkesan pada tahun ini, kata Ahmad Shahabuddin

PENYERAHAN: Ahmad (berdiri kanan) dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Bujang Jumat (kiri) menyaksikan majlis menandatangani dokumen oleh Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Negeri Sarawak, Penguasa Kanan Bomba II Abdul Fathulmuen Abdul Salam (kanan)bagi penyerahan kereta Bomba Sukarela Sungai Asap Belaga kepada wakil penduduk, Ding Ajang (kiri).


SUNGAI ASAP, Belaga: Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak (Bomba) memfokuskan dua strategi pada tahun ini dalam usaha menangani dan mencegah kebakaran dengan lebih berkesan.

Pengarahnya Ahmad Shahabuddin berkata, dua strategi itu ialah melibatkan operasi dan pemantauan keselamatan kebakaran dengan mengguna pakai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang menekankan kepada tiga zon penting.

Katanya, zon satu menyasarkan anggota bomba tiba di tempat kejadian kurang daripada 10 minit, zon dua tiba lebih 10 hingga 20 minit dan zon tiga melangkau 20 minit dan lebih.

“Misalnya untuk penubuhan pasukan Bomba Sukarela mereka harus tiba di tempat kejadian kurang daripada 10 minit,” ujarnya dalam sidang media selepas menyerahkan kereta Proton Arena dan Peralatan Memadam Api untuk Bomba Sukarela Sungai Asap, Belaga di Uma Belor kelmarin.

Ahmad Shahabuddin berkata, Bomba Sukarela berperanan penting dalam memberikan bantuan kecemasan untuk kawasan ia ditubuhkan dengan lebih cepat misalnya di kawasan Sungai Asap Belaga.

“Sekiranya bergantung kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu untuk tiba di sini (Sungai Asap) apabila berlaku kes kebakaran ia memakan masa,”katanya.

Justeru katanya, penubuhan Bomba Sukarela ini amat bertepatan untuk menangani kes-kes kebakaran setempat.

Begitupun katanya, penubuhannya bergantung kepada kajian yang dibuat mengenai populasi penduduk di sesuatu tempat tersebut.

“Untuk kawasan luar bandar di rumah panjang kita boleh menubuhkan unit Bomba Sukarela tetapi pasukan ini perlu dipromosi supaya lebih ramai anggota di kawasan berkaitan menyertainya,” katanya.

Katanya, pasukan ini akan diterapkan dengan kemahiran supaya mereka lebih cekap menghadapi sebarang situasi kebakaran.

Jelasnya, pegawai-pegawai bomba akan berdialog lebih lanjut dengan pasukan ini daripada aspek praktikal dan teori asas mengenai kebombaan.

Beliau berkata tiada had bagi penduduk yang ingin menyertai pasukan Bomba Sukarela kerana lebih ramai anggota ia lebih baik.

“Setakat ini Sarawak mempunyai 737 keahlian dalam Bomba Sukarela melibatkan 26 pasukan,” tambahnya.