Gadis ditikam 19 kali meninggal dunia

0

Mangsa turut disimbah cuka oleh seorang lelaki dipercayai kerana menolak cintaJOHOR BAHARU: Nur Ain Ashikin Jemedi, gadis yang kritikal selepas ditikam 19 kali, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Pandan, di sini semalam.

Nur Ain Ashikin, 17, yang dimasukkan ke hospital itu pada 16 Dis lepas meninggal dunia kira-kira jam 8.32 pagi di sisi tiga kakaknya.

Seorang kakaknya, Marlina, 30, ketika ditemui pemberita di hospital semalam berkata pihak keluarga dimaklumkan mengenai keadaan Nur Ain Ashikin yang

semakin kritikal, kira-kira jam 11 malam kelmarin.

“Nur Ain Ashikin nazak kira-kira setengah jam selepas kami tiba di hospital.

Pihak hospital memaklumkan badannya tidak lagi boleh menerima darah dan ubat-ubatan,” katanya.

Marlina berkata jenazah adiknya akan dibedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Redan, Kota Tinggi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi, 16 Dis lepas, Nur Ain Ashikin ditikam dengan pisau sebanyak 19 kali oleh seorang lelaki yang dikenalinya di rumahnya, dipercayai akibat tidak membalas cinta lelaki itu.

Dia turut melecur hampir 70 peratus akibat disimbah cuka getah oleh lelaki terbabit.

Isnin lepas, Mahkamah Sesyen Kota Tinggi memerintahkan seorang lelaki, Habin Noor Sulaiman, 42, dijatuhi hukuman penjara 17 tahun dan lima sebatan selepas mengaku bersalah mencederakan dan cuba membunuh Nur Ain Ashikin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Osman Mohammad Sebot ketika dihubungi berkata pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut. — Bernama