MPS akan pastikan pembeli rumah dilindungi

0

Pemaju perumahan baru perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan sebelum OP dikeluarkan: Tiong

MENJAGA KEPENTINGAN PEMBELI: Tiong (dua kanan) serta yang lain mendengar penjelasan daripada Lau (tiga kanan) semasa mengadakan tinjauan ke kawasan perumahan di Jalan Belatok, Sibu semalam.

SIBU: Setiap projek perumahan yang dilaksanakan di sini perlu lulus Permit Menduduki (OP) terlebih dahulu mulai tahun ini sebelum boleh dijual kepada orang ramai.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Datuk Tiong Thai King berkata, langkah ini adalah bagi melindungi pembeli agar dapat mendiami rumah yang dibeli dengan lebih selesa dan selamat.

“OP (Occupational Permit) memerlukan setiap pemaju rumah memenuhi syarat-syarat yang sudah pun termaktub di dalamnya.

“Antara syarat-syaratnya ialah memastikan keadaan jalan raya di sekitar kawasan perumahan adalah baik dan tidak mudah mendap, sistem perparitan yang sistematik dan keadaan tanah yang tidak mendap,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke kawasan perumahan baru di Jalan Belatok di sini, semalam.

Turut serta dalam tinjauan itu ialah Timbalan Pengerusi MPS Daniel Ngieng, Setiausaha MPS Hii Chang Kee, Pengarah Urusan Syarikat Pemaju Hock Seng Lee Simon Lau serta ahli-ahli MPS yang lain.

Tiong berkata, syarat-syarat terbabit perlu diambil perhatian serius oleh setiap pemaju bagi menjamin kualiti hasil kerja mereka, sekali gus membawa keuntungan kepada mereka sendiri.

“Selain itu, jika tidak mendapat kelulusan OP, MPS tidak akan meluluskan projek mereka serta rumah berkenaan juga tidak boleh dijual kepada sesiapa.

“Ini sebagai melindungi pembeli yang telah membeli rumah agar dapat tinggal dengan lebih selesa dan selamat,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Lanang.

Tiong turut memberitahu bahawa ada di antara kawasan perumahan di sini yang mengalami masalah seperti banjir, sistem perparitan yang tersumbat serta tanah mendap yang mengakibatkan jalan tidak rata dan beliau tidak mahu perkara itu berlaku sehingga menyebabkan kerugian kepada pembeli.

“Oleh itu, mulai tahun ini MPS melalui bahagian kejuruteraannya akan sentiasa turun padang atau mengadakan tinjauan serta membuat pemeriksaan ke atas setiap projek perumahan baru di bahagian ini.

“Meskipun OP sudah lama diperkenalkan di negara kita termasuk di bahagian ini, namun MPS sebelum ini tidak turun padang bagi mengenal pasti masalah berkaitan dengannya.

“Tetapi MPS kali ini akan mengambil berat terhadap masalah ini setelah mengambil kira kepentingan pembeli rumah,” jelasnya lagi.

Justeru, bagi mencapai standard OP, beliau meminta setiap pemaju perumahan di sini agar sentiasa bekerjasama dengan MPS demi meningkatkan kualiti perumahan yang akan membawa manfaat bersama kepada pembeli dan pemaju.

“Diharap semua pemaju sentiasa berhubung dengan MPS mengenai masalah-masalah ini (OP) bagi membolehkan setiap projek perumahan mereka selamat untuk didiami,” tambah beliau.