Novel Interlok tiada elemen rasis: Anwar

0

PETALING JAYA: Novel Interlok tidak mempunyai elemen rasis seperti yang disuarakan oleh pihak tertentu, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya dah baca novel ini sudah lama, saya tidak nampak apa-apa yang rasis pun,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Anwar mencadangkan satu perbincangan dilakukan antara mereka yang mempertikaikan mengenai novel itu dan Kementerian Pelajaran.

Beliau diminta mengulas desakan golongan tertentu yang mahukan novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain diharamkan daripada dijadikan antara novel untuk komponen sastera Bahasa Malaysia di Tingkatan Lima bermula tahun ini kononnya ia mempunyai unsur yang menghina kaum India di negara ini.

Mengenai kritikan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa “Pelan 100 Hari” yang dibentangkan oleh pakatan pembangkang bersifat populis dan tidak bertanggungjawab kerana tidak disertakan dengan punca kewangan bagi melaksanakannya, Anwar berkata beliau sedia berdebat dengan Perdana Menteri mengenai perkara itu. — Bernama