Liow marah poliklinik retak

0

Punca keretakan Poliklinik Tudan akan diteliti, janji penyelesaian segera

RETAK: Liow (kanan ) ditemani Dr Chan (dua kanan) dan yang lain ketika lawatannya ke Poliklinik Tudan, semalam.

MIRI: Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam melahirkan kemarahannya ke atas pihak yang bertanggungjawab mengenai keretakan yang wujud pada bangunan Poliklinik Tudan. “Saya tidak dapat terima perkara ini (bangunan retak).

Seharusnya pembinaan (bangunan) adalah secara profesional dan diiktiraf,” kata Liow ketika lawatan singkatnya ke Poliklinik Tudan, tengah hari semalam.

Menurutnya, keretakan yang berlaku pada bangunan klinik tersebut menimbulkan banyak persoalan dan pada masa sama berjanji akan menyelesaikanperkara berkenaan secepatnya.

“Saya akan pergi ke peringkat akar umbi untuk mengetahui apakah punca sebenar masalah ini, adakah disebabkan oleh tanah, cara pembinaan ataupun kerana strukturnya,” ujar beliau lagi.

Ketika ditanya tentang peruntukan yang diberikan kepada klinik di kawasan luar bandar katanya, kementerian berjanji akan memberikan dana yang secukupnya terhadap klinik-klinik dan pusat rawatan seumpamanya di seluruh Sarawak.

“Sesebuah klinik tidak akan dapat beroperasi jika tidak diperuntukkan dana dan sebab itulah kita akan pastikan setiap klinik di Sarawak akan mendapat dana secukupnya,” katanya.

Mengenai perkembangan lain, Liow turut meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk pembesaran kawasan tempat letak kereta awam yang sebelumnya diutarakan oleh Menteri Muda Komunikasi Datuk Lee Kim Shin.

Tahun lepas, isu kesesakan klinik berkenaan timbul kerana ia dikatakan menerima pesakit sehingga mencecah 600 orang sehari dan juga masalah kesesakan tempat letak kereta di hadapan poliklinik terbabit yang turut menyebabkan kesukaran lalu lintas di pintu masuk.

Selain itu, pada Julai lepas, para pesakit pusat rawatan awam itu turut mengadu tentang keadaan panas yang terpaksa ditanggung akibat penangguhan kerja-kerja membaiki kerosakan sistem pusat pendingin hawa di situ.

Turut hadir dalam lawatan berkenaan adalah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, Menteri Muda Komunikasi Datuk Lee Kim Shin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Andy Chia dan Residen Miri Antonio Kahti Galis.