Perhimpunan Suku-suku Kaum 2011 dapat sambutan

0

Hampir 100 pengunjung ke BCCK pada hari pertama untuk menyaksikan ekspo tatu disertai lapan negara

MENJADI PILIHAN: Tatu ketuk, iaitu cara tradisional untuk membuat tatu sering menjadi pilihan sama ada orang tempatan, mahupun pelancong asing.

KUCHING: Perhimpunan Suku-suku Kaum 2011 yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) berjaya menarik hampir 100 orang pengunjung pada hari pertamanya, semalam.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti pertandingan mengikat ‘sirat’ yang turut disertai oleh pelancong- pe l ancong a s ing, pertandingan menyumpit, pertunjukan tradisional, tayangan gambar ‘pemburu tatu’, cabutan bertuah dan pertandingan membuat tatu.

Ekspo tatu tersebut disertai lapan negara, termasuk Malaysia, Itali, Indonesia, Jepun, United Kingdom, Britain dan Ireland.

Sebanyak 26 ruang pameran dibuka dan selain untuk tujuan tatu, ia turut mempamer dan menjual kraf tangan tempatan.

Antara tarikan ke pameran itu adalah membuat tatu secara tradisional iaitu tatu ketuk.

Ketika ditemui Utusan Borneo semalam, artis tatu dari Kalimantan Barat, Indonesia, Herdianto Hendra memberitahu, tatu ketuk sering menjadi pilihan tanpa mengira orang tempatan mahupun pelancong asing.

“Tatu yang paling rumit untuk dibuat adalah tatu kaum Kayan kerana ia mempunyai banyak butiranbutiran yang sangat kecil dan memerlukan kepakaran tinggi,” katanya yang sudah mempunyai pengalaman selama 14 tahun dalam bidang tersebut.

Herdianto yang berbangsa Kenyadan, salah satu suku Dayak di Kalimantan memberitahu, perbezaan corak tatu Dayak Kalimantan dan Dayak di Sarawak juga tidak jauh bezanya.

Menurutnya, kebanyakan corak-corak tatu sama-sama cenderung kepada alam semula jadi.

“Dari segi coraknya, sama sahaja. Kedua-duanya berdasarkan alam semula jadi,” katanya.

Beliau turut menjangkakan lebih ramai pengunjung pada hari ini dan esok memandangkan semalam ramai orang masih bekerja.

Ekspo itu diadakan selama tiga hari iaitu dari Jumaat sehingga Ahad ini, bermula jam 12 tengah hari hingga malam.

Untuk hari ini (Sabtu), acara bermula jam 1 petang dengan pertunjukan Sape Orang Ulu dan diikuti dengan ‘miring’, bagi menandakan perasmian ekspo tersebut.