Pemandu teksi jadi saluran maklumat kerajaan: Rais

0

LABIS: Pemandu-pemandu teksi seluruh negara akan dijadikan perantara dan saluran bagi kerajaan untuk menyampaikan maklumat tentang dasar dan kempen kerajaan kepada masyarakat.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata langkah itu memandangkan pemandu teksi mempunyai hubungan secara terus dengan masyarakat melalui kerjaya mereka sebagai pemandu teksi.

“Jadi kita di kementerian terasa bahawa sampai sudah masanya bahawa masyarakat pemandu teksi yang begitu ramai di seluruh negara untuk kita minta kerjasama mereka untuk menjayakan beberapa usaha murni kerajaan seperti kempen budi bahasa nilai-nilai murni, kempen 1Malaysia dan kempen Bahasa Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program 1Malaysia bersama Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia dan Persatuan Tuan Punya dan Pemandu Kereta Sewa Melayu (PETEKMA) Daerah Segamat, di Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen, di sini semalam.

Katanya menerusi kerjasama yang akan diberikan pemandu teksi menerusi komunikasi dan budi bahasa yang baik dengan pelanggan, ia juga akan memberi imej positif terhadap perkhidmatan mereka.

Selepas program itu, Rais kemudiannya sempat meluangkan masa melawat ke rumah ibu tunggal, Jamiah Jopri di Kampung Tenang dekat sini dan menghulurkan bantuan bagi membaik pulih kediaman warga emas tersebut.

Jamiah, 59, yang tinggal bersama seorang anak perempuannya yang menghidap penyakit sawan, menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian selain peruntukan berjumlah RM5,000 bagi membaik pulih bumbung, tandas dan dinding rumahnya yang sudah rosak.

“Makcik rasa syukur sangat dengan bantuan yang diberikan ini, tak tahu nak cakap apa, terima kasih banyak-banyak kepada Datuk (Rais),” katanya.

Pada majlis ringkas yang dihadiri kira-kira 100 penduduk itu, Rais turut mengingatkan penduduk untuk sentiasa mengenang budi dan jasa pemimpin terdahulu yang banyak berkorban sehingga rakyat hari ini menerima faedahnya.

Beliau turut mengingatkan penduduk agar tidak terpedaya dan tertipu dengan isu yang dimainkan oleh pihak tertentu yang boleh membinasakan negara. — Bernama