Terminal bas Tudan ‘dihidupkan’ mulai 1 Mac

0

Ia bakal menjadi pusat pengangkutan utama ke Brunei, Limbang, Lawas dan Sabah  

MIRI: Terminal bas di Tudan yang pernah dilabel sebagai  projek ‘Gajah Putih’ akan beroperasi sebagai pusat pengangkutan utama untuk laluan ke negara Brunei Darussalam dan Sabah bermula 1 Mac ini sejak terbiar selama lima tahun.

Datuk Bandar Lawrence Lai memberitahu, tiga syarikat bas bersetuju untuk mengendalikan perkhidmatan penghantaran ulang alik penduduk Miri ke bahagian Utara Borneo iaitu Brunei, Limbang, Lawas dan Kota Kinabalu Sabah.

Syarikat itu ialah PHLS Sdn Bhd, Borneo Tersoro Sdn Bhd dan Bintang Jaya Express Sdn Bhd.

“Kita (Majlis Bandaraya Miri) telah mengadakan dialog dengan syarikat bas ini pada 19 Januari lalu dan mereka bersetuju untuk memindahkan operasi dan menjual tiket bas mereka di terminal bas ini pada 1 Mac,” jelasnya kepada pemberita semalam.

Menurut Lawrence, pihak pengurusan bas Miri akan menyediakan khidmat penghantaran penumpang ke terminal bas Tudan dari pusat bandar raya.

Mereka yang ingin ke terminal itu boleh menunggu di terminal bas Pujut Corner ataupun terminal bas di Jalan Padang.

MBM turut meminta kerjasama dari  Persatuan Teksi Miri untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada penumpang di terminal bas Tudan.

“Kita juga merancang untuk membuka gerai makanan dan minuman sebagai menambah kemudahan pengguna di terminal ini,” jelasnya.

Syarikat PHLS akan membuat penghantaran penumpang ke Brunei bermula jam 8.15 pagi dan 3.45 petang, Borneo Tersoro menyediakan khidmat pengangkutan ke Kota Kinabalu bermula jam 7 pagi sementara Bintang Jaya Express menyediakan khidmat pengangkutan bas ke Limbang dan Lawas bermula jam 7 pagi.

Lawrence berkata, operasi bas di terminal Tudan telah mengurangkan kesesakan di terminal bas Pujut Corner yang sekarang merupakan pusat pengangkutan bas utama di sini untuk laluan ke semua bahagian di negeri ini termasuk Brunei.

“Terminal Tudan akan menumpu kepada laluan di Utara Borneo sekali gus mengurangkan kesesakan di terminal Pujut Corner,” jelasnya.

Kerajaan pusat katanya merancang untuk membuka terminal baru untuk laluan ke Selatan Miri  di jalan Miri-Bypass dan MBM masih meneliti cadangan berkenaan.