Cubaan penyeludup tumpas

0

Gula bersubsidi bernilai lebih RM189,000 dan 120 tong gas dipercayai diseludup

CUBAAN GAGAL: Beberapa anggota penguat kuasa KPDNKK memeriksa stok gula bersubsidi di sebuah premis pemborong di kawasan Tebedu.

KUCHING: Cubaan menyeludup gula bersubsidi seberat 54.4 metrik tan ke negara jiran berjaya ditumpaskan dalam satu operasi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Tebedu, Ahad lalu.

Pengarah KPDNKK Pejabat Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, operasi berkenaan yang dilakukan pada 22 dan 23 Januari lalu dibuat, hasil pemantauan selama tiga minggu oleh penguat kuasa kementerian itu.

Ia juga adalah hasil maklumat orang ramai mengenai aktiviti membawa keluar barang keperluan tersebut melalui pos sempadan berkenaan.

“Dalam operasi itu, anggota penguat kuasa KPDNKK menemui 103 guni gula seberat 5,150 kilogram selain 49.36 tan metrik gula dalam bungkusan sekilogram setiap satu, masing-masing bernilai RM81,330 dan RM108,605.

“Ketika operasi dibuat, pihak pekerja di gudang simpanan gula terbabit sedang memindahkan gula daripada bungkusan berlabel gula bersubsidi kepada guni gula untuk eksport bagi mengelirukan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Wan Ahmad berkata, syarikat yang mempunyai permit untuk membekalkan gula bersubsidi hanya dibenarkan untuk me- nyimpan 40 metrik tan gula pada satu masa.

Menurutnya, tindakan akan diambil sekiranya ia melebihi jumlah yang ditetapkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Malah sekiranya didapati bersalah katanya, lesen serta permit membekal gula bersubsidi boleh dibatalkan.

“Besar kemungkinan gula ter-babit hendak diseludup ke negara jiran kerana gula dijual pada harga lebih mahal iaitu sekitar RM3.80 berbanding RM2.20 di negeri ini,” katanya.

Selain gula, KPDNKK kata-nya turut merampas 120 tong gas asli petroleum cecair (LPG) bernilai RM11,592 dari gudang yang sama termasuk sebuah lori yang memiliki pendaftaran kenderaan negara jiran.

“Nilai rampasan keseluruhan dalam operasi selama dua hari itu adalah RM201,527.20,” kata-nya.