MAS terus kekal sebagai syarikat penerbangan popular

0

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) terus kekal sebagai syarikat penerbangan popular bagi destinasi tempatan dan antarabangsa walaupun telah melalui pelbagai cabaran termasuk saingan hebat serta peningkatan kos operasi di dalam industri penerbangan.

“Usaha mentransformasi MAS untuk menjadi syarikat penerbangan bertaraf dunia menuntut kami membuat perubahan lebih daripada hanya perubahan luaran iaitu dengan membeli kapal terbang baru serta menyediakan infrastruktur yang terkini,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Tengku Datuk Sri Azmil Zahruddin.

Beliau berkata demikian ketika memberi ceramah dalam Siri Kepimpinan Perniagaan INTI, di Inti International University, baru-baru ini.

Tengku Azmil telah menceritakan bagaimana mereka memastikan rancangan membaik pulih syarikat membawa kesan yang diharapkan dan juga pelbagai inisiatif yang kini dilaksanakan bagi tujuan mengukuhkan kedudukan MAS sebagai syarikat penerbangan bertaraf dunia.

“Hasrat kami ingin menjadikan MAS antara majikan terbaik di Malaysia dan untuk itu, kami perlu pastikan kami menyediakan perkhidmatan yang unggul,” katanya.

“Kami juga harus memastikan syarikat terus menjadi peneraju dan kami menawarkan pelbagai kelebihan buat kakitangan kami. Ini antara usaha kami untuk menarik modal insan yang bermutu,” katanya. — Bernama