Sasar pelancong Eropah

0

S’wak harus perhebat promosi RWMF, pelbagaikan aktiviti di bandar raya

RENTAK BORNEO: Pemain sape, Matthew Ngau (kanan) menunjukkan cara bermain sape kepada Dr Chan semasa pelancaran wajah baru logo

KUCHING: Sarawak perlu memperhebatkan pemasaran dan promosi Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) terutamanya di negara-negara Eropah untuk menarik lebih ramai pelancong asing datang ke negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata, ini bagi memastikan kemasukan pelancong dari lebih banyak negara ke Sarawak, bukan sekadar dari negara-negara jiran atau yang sudah biasa datang semasa RWMF.

“Sebenarnya, kita mahu me-mastikan festival bukan sahaja menerima pelancong dari negara biasa semasa festival, termasuk negara jiran Singapura, Brunei tetapi juga lebih daripada itu termasuk negara Eropah, Hong Kong dan Australia,” katanya pada sidang media mengenai RWMF di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Dr Chan berkata, negara-negara Eropah merupakan sasaran yang baik namun pemasarannya agak kurang, justeru kali ini usaha mempergiatkan promosi ke benua itu harus dilakukan untuk menarik lebih ramai pelancong dari sana.

Menurut beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Wari-san, sempena dengan RWMF juga, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan di beberapa tempat sekitar bandar raya ini.

Dengan itu, katanya, ia memberi peluang kepada pelancong untuk melawat, membeli-belah, bersiar dan sebagainya di bandar raya ini selain aktiviti festival yang diadakan di Santubong.

“Sebab itu, kita membabitkan seluruh bandar raya ini agar aktiviti kita tidak tertumpu kepada festival di SCV (Kampung Buda-ya Sarawak), tetapi lebih daripada itu dan ia merupakan sasaran utama kita sekarang,” tegasnya.

Katanya, sebelum ini Sarawak berjaya mencatatkan kira-kira 40 peratus kedatangan pelancong asing semasa festival dan berharap ia dapat ditingkatkan kepada 70 peratus dengan adanya pelbagai aktiviti diadakan.

Dr Chan berkata, misalnya, sebahagian daripada Tebingan Kuching akan digunakan untuk mengadakan aktiviti seperti konsert mini atau ‘showcase’ yang juga mampu menarik pelancong atau masyarakat setempat.

Beliau berkata, melalui aktiviti seumpama itu, ia akan membabitkan ramai orang berbanding ha-nya 24,000 orang yang disasarkan semasa festival di Santubong itu sendiri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Rashid Khan berkata pada tahun lalu RWMF menjana RM13 juta kepada industri pelancongan negeri dan menyasarkan RM20 juta pada tahun ini.

Katanya, RWMF merupakan acara yang ikonik di Sarawak selain diiktiraf di seluruh dunia yang merupakan antara 25 acara muzik sedunia.

“Justeru, dengan hala tuju yang baru di bawah pimpinan kementerian bagi memastikan acara ini lebih diiktiraf, kami menyasarkan untuk menjadikan festival menjadi antara 10 acara utama di dunia.

“Kami bersiap sedia untuk menambah nilai acara dengan menampilkan artis yang terbaik, menyediakan venue yang memiliki hutan hujan semula jadi yang tiada di tempat lain, selain menyediakan festival yang mesra alam sekitar,” kata Rashid.

RWMF 2011 anjuran STB akan diadakan dari 8 hingga 10 Julai di Kampung Budaya Sarawak dan sebanyak 21 kumpulan dijangka memeriahkan festival.

Antara kumpulan yang sah membuat persembahan setakat ini ialah Startijenn dari Perancis, Pasific Curls (New Zealand), Mamak Khadem (Iran), The Blue Canyon, Lisa Haley dan The Zydekats (Amerika Syarikat), The Shin (Georgia, Eropah Timur), Ikswew (Kanada), Frigg (Finland), Malick Pathe Sow (Senegal), Agungbeat (Malaysia), Victor Valdez Trio (Mexico/Australia), Ilgi (Latvia) Hanggai (China), Kissmet (India/UK), Paddy Keenan Trio (Ireland), Doud (Tunisia/Algeria), Joaquin Diaz (Republik Dominica), Kamafei (Itali), Kenge Kenge (Kenya) dan Warsaw Village (Belanda).

Jualan tiket harian iaitu RM110 untuk dewasa dan RM55 bagi kanak-kanak berusia antara tiga dan 12 tahun kini boleh didapati melalui laman web www.ticketcharge.com.my.

Sementara bagi pas selama tiga hari, ia dijual pada harga RM300 bagi dewasa dan RM150 kanak-kanak (berusia tiga hingga 12 tahun).