Malaysia jemput pelabur Teluk

0

ABU DHABI: Malaysia kini membuka pintunya seluas-luasnya kepada para pelabur Teluk yang berpotensi, sambil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan terdapat potensi yang besar di negara ini bagi menjalin hubungan baharu yang saling bermanfaat.

Ketika menyampaikan ucaptama selama 30 minit semasa merasmikan forum “Invest Malaysia 2011” di sini semalam, Najib telah membentangkan satu senario kukuh bagi para pelabur Teluk untuk memilih Malaysia sebagai satu destinasi pelaburan.

“Ekonomi kami menawarkan peluang dari pelbagai sudut bagi para pelabur yang berwawasan dan berdaya saing,” katanya semasa mengucapkan “Selamat Datang” kepada para pelabur berpotensi itu.

Beliau menonjolkan persekitaran mesra perniagaan Malaysia dan bidang yang boleh dilakukan usahasama perniagaan kepada ratusan ahli perniagaan Teluk yang berhimpun di hotel Emirates Palace yang menghadap Teluk Parsi.

Selepas itu, Najib menyaksikan penandatanganan perjanjian mengenai ekonomi, komersil, pelaburan dan kerjasama teknikal antara Malaysia dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dianggotai oleh Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Qatar, Kuwait, Bahrain, dan Oman.

Sambil menyifatkan penandatanganan perjanjian itu sebagai satu pencapaian yang signifikan di dalam hubungan antara Malaysia dan GCC, Perdana Menteri berkata kedua-dua pihak komited ke arah memulakan satu cadangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) menjelang Mac 2011.

Majlis itu turut disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Hal Ehwal Eksekutif Abu Dhabi dan Ketua Eksekutif Mubadala Development Corporation Khaldoon Khalifa Al Mubarak.

Yang turut hadir pada majlis perasmian Invest Malaysia itu ialah isteri  Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Ekonomi UAE Sultan Saeed Al-Mansoori, Setiausaha Agung GCC Abdul Rahman bin Hamad Al-Attiyah dan para pegawai kanan kerajaan yang lain.

Semasa berucap, Najib berkata kerajaan Malaysia telah mengambil langkah memupuk iklim pelaburan yang kondusif melalui satu dasar liberasisasi yang perlahan-lahan dan menarik sumber pertumbuhan bernilai tinggi.

“Kami menyasarkan industri di mana Malaysia mempunyai kelebihan yang jelas seperti ekopelancongan, pelancongan perubatan, perkhidmatan kewangan, pendidikan, telekomunikasi dan teknologi hijau, yang termasuk tenaga diperbaharui,” katanya.

Malaysia, katanya juga sedang berusaha untuk menarik pemindahan ibu pejabat serantau, pusat operasi pemerolehan dan pengedaran serantau.

Najib berkata dasar-dasar kerajaan seperti Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Program Transformasi Ekonomi telah melonjakkan Malaysia ke hadapan dan membantunya pulih dengan segera dari kemelesetan ekonomi global.

“Bagi tempoh 10 tahun akan datang, sektor pengeluaran dan perkhidmatan akan memainkan peranan lebih besar di dalam ekonomi kami. Ini adalah bidang yang menarik di mana pelaburan asing boleh menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Perdana Menteri turut berkongsi dengan para hadirin mengenai kekuatan Malaysia di dalam bidang kewangan Islam, sambil menyatakan bahawa Malaysia kini di ambang menjadi salah satu hab kewangan terbesar di dunia.

“Di segi kedudukan bagi sukuk, Malaysia berada pada tempat teratas, diikuti oleh UAE, Arab Saudi, Indonesia dan Bahrain,” katanya, sambil menyatakan bahawa Malaysia kini mencatatkan lebih 50 peratus daripada US$144 bilion di segi bon Islam di seluruh dunia.

Perdana Menteri memberitahu perhimpunan di Abu Dhabi itu bahawa strategi ekonomi Malaysia melibatkan tawaran hutang yang baharu dan pengenalan produk perbankan Islam yang inovatif, seperti deposit, derivatif berstruktur dan produk lindung nilai.

“Kami turut menarik para pelabur dan penerbit pasaran bon domestik melalui insentif cukai,” katanya.

Najib berkata Malaysia menikmati kemasukan semula pelaburan asing pada 2010, di mana angka sektor pengeluaran berkembang daripada US$7.2 bilion pada 2009 kepada US$9.5 bilion pada 2010.

Amerika Syarikat ialah sumber pelaburan langsung asing (FDI) terbesar pengeluaran di Malaysia pada tahun lepas, dengan 47 projek pelaburan yang diluluskan berjumlah US$4 bilion.

Jepun muncul pelabur kedua terbesar dengan 61 projek. — Bernama