Pelajar dan rakyat M’sia di Mesir selamat: Wisma Putra

0

KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah mengesahkan bahawa semua pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir selamat setakat jam 4.30 petang semalam (waktu Malaysia).

Wisma Putra dalam satu kenyataan menasihati ibu bapa dan anggota keluarga agar tidak terlalu bimbang kerana kedutaan serta Jabatan Penuntut Malaysia sentiasa memantau perkembangan terkini, selain berhubung dengan pelajar dan rakyat Malaysia berkenaan.

Menurut kenyataan itu, satu pekeliling Nasihat Keselamatan juga dikeluarkan kepada semua rakyat Malaysia bagi mengelak berada di tempat berisiko tinggi tercetusnya rusuhan dan berwaspada setiap masa.

Selain itu, dua bilik operasi telah ditubuhkan iaitu di Kementerian Luar Negeri, Putrajaya dan di Kedutaan Besar Malaysia, Kaherah.

Ia boleh dihubungi di talian 03-88892746 / 03-88874570 (Putrajaya), dan 00-202-37610013  sambungan 116, atau 00-202-37610164 (Kaherah) dan bercakap dengan Menteri Penasihat Saharudin Hassan, Setiausaha Kedua Samsul Kahar Kamarudin serta Setiausaha Ketiga Iskandar Harman.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Ibrahim Ahmad berkata keselamatan pelajar tajaannya di Kaherah adalah terkawal.

Beliau berkata pejabat MARA di Mesir sedang bekerjasama dengan kedutaan Malaysia memantau perkembangan pelajar dari semasa ke semasa.

Selain itu, ibu pejabat MARA di sini bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara dan Wisma Putra bagi mendapatkan arahan serta nasihat sebelum mengambil tindakan selanjutnya, katanya dalam satu kenyataan.

Ibrahim turut meminta pelajar mematuhi segala arahan dan nasihat kedutaan Malaysia berhubung langkah keselamatan yang perlu diambil, selain mengelak berada di tempat rusuhan serta berisiko tinggi.

Seramai 1,000 pelajar tajaan MARA dalam bidang perubatan dan pergigian mengikuti pengajian di beberapa universiti di Mesir.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA di talian 019-272 0649 atau 019-388 3121. — Bernama