Wednesday, July 17

Kekurangan bawang merah India dijangka berlarutan

0

KUCHING: Masalah kekurangan bekalan bawang merah India di negeri ini dijangka berlarutan sehingga Mac depan.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Ke-penggunaan (PPDNKK) Negeri Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata bekalan pulih atau tidak amat bergantung kepada keadaan cuaca negara pengeluar utama bawang merah iaitu India.

Menurut beliau ketika ini India dilanda musim tengkujuh yang agak teruk sehingga me-nyebabkan banyak bawang me-rah yang ditanam di negara itu  musnah.

“Masalah kurangnya bekalan bawang merah khasnya dari India lazimnya berlaku pada setiap hujung tahun kerana ketika itu negara pengeluar utama iaitu India dilanda banjir menyebabkan banyak tanaman musnah.

“Kebiasaannya keadaan akan pulih pada penghujung Februari tetapi kali ini kita belum pasti, ada kemungkinan masalah ke-kurangan bekalan bawang merah akan berlarutan sehingga pertengahan Mac depan.

“Ini kerana ia amat bergantung kepada keadaan cuaca di sana… difahamkan cuaca buruk di India akan berlarutan sehingga Mac,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Wan Ahmad memberitahu bahawa pihaknya telah cuba mendapatkan maklum balas daripada pemborong barangan berkenaan.

Menurut pemborong,  bawang merah ada di pasaran cuma bekalannya tidak banyak dan kalau adapun ia bukan bawang merah dari India.

“Bekalan ada tetapi disebabkan sekarang musim tengkujuh banyak bekalan yang sampai (di Sarawak) rosak.

“Menurut pemborong dalam satu guni bawang merah yang sampai, beberapa kilogram daripadanya sudah busuk,” jelasnya.

Menurut beliau lagi disebabkan permintaan yang tinggi terhadap bahan utama masakan itu tetapi bekalan kurang, ditambah dengan musim perayaan (Tahun Baru Cina) harganya kini sekitar RM17 hingga RM18 sekilogram tertakluk kepada tempat ia dipasarkan.

Beliau memberitahu bahawa pihaknya tidak boleh menetapkan harga bawang merah memandangkan ia bukan barangan ter-kawal seperti sebelum ini.

“Dulu bawang merah disenarai sebagai barangan kawalan setiap kali musim perayaan tetapi sekarang tidak lagi dan salah satu puncanya ialah masalah kekurangan bekalan yang dihadapi setiap kali menjelang hujung tahun,” jelas beliau.

Masalah bekalan bawang me-rah khasnya dari India sukar di-peroleh di pasaran negeri ini berlaku sejak Disember tahun lepas.