Saturday, September 26

Liga Sibu titikberatkan disiplin

0

SFA larang pengambilan alkohol, pergaduhan pemain sepanjang pertandingan

SEPAKAT: Abdul Hajis (duduk tengah) bersama ahli-ahli SFA selepas mengadakan mesyuarat dengan pengurus-pengurus pasukan.

SIBU: Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (SFA) amat menitikberatkan soal disiplin pemain sepanjang berlangsungnya Liga Sibu 2011 yang bakal membuka tirainya 19 Februari ini.

Setiausaha SFA, Abdul Hajis Abdullah berkata soal disiplin ini termasuk pengambilan minuman alkohol dari kalangan pemain yang mengambil bahagian.

“Persatuan amat menitikberat soal disiplin pemain sepanjang liga ini berlangsung, termasuk pengambilan alkohol sebelum atau selepas sesuatu perlawanan.

“Mereka yang didapati mengambil minuman beralkohol atau didapati berbau alkohol, tidak akan dibenarkan bermain untuk perlawanan tersebut,” ujarnya kepada Utusan Borneo selepas mengadakan mesyuarat dengan pengurus pasukan yang mengambil bahagian dalam Liga Sibu semalam.

Sebanyak 10 pasukan mengambil bahagian pada Liga Sibu 2011 anjuran SFA ini iaitu Rimba Hijau FC, Sastra Maritime Academy, Sentosa Junior FC, Red Hackle, Pendekar, Kesulas FC, Sinar Suria, Septen, Singgah Selalu FC dan Alliana FC.

Menurut Abdul Hajis lagi, persatuan turut memandang serius kes pergaduhan di kalangan pemain yang mungkin berlaku memandangkan hal itu sudah termaktub dalam perlembagaan persatuan.

“Kita tidak mahu perkara yang tidak diingin berlaku sepanjang liga kerana kita menganjurkan pertandingan ini untuk meningkatkan mutu penganjuran dan pemainan bola sepak di Sibu. Kita juga berharap ramai lagi pemain dapat dilahirkan melalui penganjuran liga yang berprestij seperti ini.

“Pemain yang didapati mengambil alkohol atau bergaduh akan dikenakan tindakan oleh pihak jawatankuasa tatatertib pertandingan,” katanya sambil menasihati semua pemain agar bermain dengan sepenuh komitmen.

Perlawanan pertama Liga Sibu 2011 menyaksikan pertemuan antara pasukan Pendekar menentang Septen pada 19 Februari, jam 4 petang di Padang Penjara. Ini diikuti pertemuan antara Singgah Selalu FC menentang Alliana FC (20 Februari), Sinar Suria bertemu Rimba Hijau FC (26 Februari) dan Sentosa Junior FC bertemu Kesulas FC (27 Februari).

Sepak mula perlawanan dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Dato Sri William Mawan Ikom pada 19 Februari ini. Bagi memeriahkan majlis, turut akan berlangsung persembahan daripada anggota tentera dari Batalion Ketiga Rejimen Render Diraja (3RRD).

Juara Liga Sibu nanti akan menerima hadiah wang tunai RM5,000 selain piala dan pingat sementara naib juara, pemenang tempat ketiga dan keempat masing-masing akan membawa pulang RM3000, RM1500 dan RM500 selain piala dan pingat.

Dua pasukan terbaik akan melayakkan diri ke Kejohanan Piala Juara-Juara Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober depan.