Saturday, January 23

Saya dan Jabu sedia berundur jika ada pengganti: Taib

0

BETONG: Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan timbalannya, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu bersedia untuk berundur sekiranya ada pemimpin yang benar-benar berkaliber, bijak dan berpendidikan untuk menggantikan mereka  berdua.

RASMI: Taib memerhatikan Jabu memukul salah satu peralatan muzik tradisional kaum Iban, ‘engkerumong’ semasa merasmikan Seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat Sarawak Bahagian Betong di Betong, semalam.

“Jika ada mereka yang ingin menggantikan kami.., kami mahu tapi kami tidak akan melepaskan kuasa jika tiada jaminan seseorang itu baik atau pintar untuk memberikan pembangunan kepada rakyat Sarawak,” demikian tegas Taib.

Ini kerana katanya, dalam usaha memba-ngunkan sesebuah negeri terutama seperti Sarawak, ia amat memerlukan golongan yang berpendidikan dan bijak agar pembangunan negeri terlaksana dengan baik.

Justeru dalam perkembangan yang ber-kaitan beliau memberitahu Barisan Nasional (BN) Negeri dijangka akan menggantikan beberapa muka lama dengan calon-calon baru yang lebih muda dan berkaliber dalam membangunkan Sarawak, pada pilihan raya ne-geri yang akan datang.

Taib yang juga pengerusi BN Negeri Sara-wak menyatakan perkara itu semasa berucap merasmikan Seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat Sarawak Bahagian Betong di sini, semalam.

“Oleh sebab itu dalam pilihan raya negeri akan datang kita mungkin akan menukarkan calon-calon yang sudah lama dan diganti dengan yang baru dan lebih bijak atau pandai.

“Kita tidak nafikan hari ini hampir kesemua YB-YB (wakil rakyat) kita adalah graduan namun kini calon-calon yang kita cari bukan sahaja bergraduan tetapi mempunyai tingkah laku yang baik serta mempunyai kualiti kepimpinan,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), menjelaskan pertukaran orang dalam parti bukan satu masalah.

Malahan katanya ada antara wakil rakyat dari parti itu telahpun menyatakan hasrat untuk berundur dan mencari calon yang lebih bertenaga, muda dan bersedia untuk berkhidmat.

“Inilah cara kita dalam politik dan pembangunan politik yang betul kerana mereka memikirkan keupayaan pemimpin itu harus ditingkatkan dari semasa ke semasa,” tegasnya.

Beliau berkata dalam sesebuah parti mungkin mempunyai ramai ahli tetapi tidak semua berminat untuk dicalonkan dan menyerahkannya kepada pucuk pimpinan parti.

Situasi ini menurut beliau amat berbeza dengan parti pembangkang yang sering bersaing sesama sendiri dan amalan ini tidak ada dalam parti politik BN.

“Justeru saya menyeru agar apa yang dimiliki BN pada hari ini dijaga kerana kalau tidak ada pemimpin, termasuk (peringkat) akar umbi yang menjaganya ia akan musnah,” katanya lagi.

Hadir sama di majlis itu ialah isteri beliau, Puan Sri Ragad Waleed Alkurdi Taib, Tan Sri Jabu serta isteri Dato Sri Empiang Jabu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem serta menteri-menteri muda yang lain.