Cadangan beri subsidi kurangkan cukai MAHB ke atas AirAsia

0

MIRI: Kerajaan negeri menimbang cadangan memberi subsidi untuk mengurangkan kadar bayaran cukai lapangan terbang oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) ke atas penumpang syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata, cadangan tersebut perlu dibincangkan secara mendalam bagi mencari situasi menangmenang di antara kerajaan, AirAsia dan MAHB.

“Saya rasa mungkin untuk tempoh yang singkat sahaja. Bergantung kepada situasi. Sebab itu, kita perlu berbincang dengan syarikat penerbangan.

Tetapi kita tidak dapat tanggung terlalu banyak kerana perkara ini bukan tanggungjawab kerajaan negeri.

“Ini melainkan sekiranya lapangan terbang itu diserahkan kepada kerajaan negeri,” ujarnya kepada media semasa ditemui di pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini, semalam.

Dr Chan yang juga Menteri Pelancongan dan Warisan memberitahu, cukai lapangan terbang yang mahal turut menyekat AirAsia daripada memperbanyakkan perkhidmatan penerbangan terus di negeri ini seperti ke Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu.

Walaupun cukai MAHB termurah berbanding negara Asia lain, namun masih dianggap mahal oleh penumpang AirAsia di negeri ini, katanya.

Cukai yang dikenakan di Malaysia iaitu RM51 adalah lebih rendah berbanding Singapura (RM52), Jakarta, Indonesia (RM54), Hong Kong (RM65) dan Bangkok, Thailand (RM76).

Dr Chan mengakui kekurangan penerbangan terus ke negeri ini sedikit sebanyak membantutkan usaha kerajaan negeri menjual produk pelancongannya ke peringkat global.

“Saya mengakui bahawa kita sukar untuk mendapat penerbangan terus dan ini menyukarkan kita ‘menjual’ Sarawak. Kekurangan penerbangan adalah faktor utama membantutkan industri pelancongan negeri ini,” jelasnya.

Beliau mencadangkan kepada MAHB untuk memberi jangka masa tertentu kepada AirAsia menambah pelanggan mereka sebelum bertindak mengenakan bayaran cukai yang tinggi.

MAHB dicadang memberi tempoh tiga hingga lima tahun kepada AirAsia untuk menjual pakej penerbangan mereka bagi menampung bayaran cukai lapangan terbang yang dikenakan.

“Saya rasa mereka (MAHB) perlu memberi tempoh tertentu kepada AirAsia. Memang cukai kita lebih murah berbanding negara lain. Lebih baik ada daripada tidak ada (penggunaan lapangan terbang). Jika tiada penerbangan, mereka tidak akan dapat apa-apa (cukai),” kata Dr Chan.

“Mereka boleh menaikkan kadar cukai sekiranya penerbangan tersebut mempunyai ramai penumpang ataupun menunggu sehingga AirAsia mendapat untung daripada penerbangan itu.”

Tentang projek pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Kuching, Dr Chan memberitahu, kerajaan negeri telah menyediakan tapak untuk AirAsia membina terminal baru mereka yang terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA).

Projek dirancang dilaksanakan pada tahun ini yang pastinya akan memberi manfaat kepada Sarawak khasnya sektor pelancongan kerana ia bakal berfungsi sebagai hab tambang murah di rantau ini (Sabah dan Sarawak).