Pengeluaran koko akan ditingkatkan

0

K’jaan sasar 60,000 tan biji koko pada 2020

BERNARD DOMPOK

BEKENU: Kerajaan menyasarkan 60,000 tan pengeluaran biji koko pada 2020 atau sekurang-kurangnya dapat menampung 20 peratus daripada pengeluaran pengisaran koko tempatan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok berkata sasaran itu diletakkan sebagai menjana industri hiliran koko negara yang berkembang pantas dan amat memerlukan lebih banyak biji koko kering untuk menampung permintaan kilang-kilang pengisaran biji koko tempatan.

Menurut beliau, pengeluaran biji koko tempatan yang dihasilkan untuk kegunaan industri pengisaran hanyalah sekitar 16,000 tan sahaja.

“Jumlah pengeluaran ini adalah tidak setanding dengan kemampuan atau kapasiti kilang pengisaran koko di negara ini yang mampu mengisar sebanyak 302,000 tan pada tahun 2010 dan akan meningkat kepada 360,000 tan pada masa akan datang,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, bagi menampung keperluan bekalan biji koko tempatan, kerajaan terpaksa mengimport sebanyak 95 peratus biji koko dari luar negara terutama dari Indonesia, Ivory Coast, Ghana serta beberapa negara luar yang lain.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Tanaman Semula Koko Wilayah Utara Sarawak anjuran Native Synergy Sdn Bhd yang berlangsung di Dewan Masyarakat Bekenu di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus dan Pengerusi Eksekutif Native Synergy Sdn Bhd Datuk Azlan Ahmad.

Dalam pada itu menurut Dompok, pada tahun lepas, keluasan tanaman koko di Sarawak adalah 7,790 hektar atau mewakili 40 peratus daripada keluasan tanaman koko negara.

Sehubungan itu katanya, kementerian beliau (KPPK) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM) menyasarkan untuk membangunkan 5,000 hektar lagi kawasan tanaman koko di Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang sebagai usaha menambah jumlah pengeluaran biji koko daripada 1,200 tan pada tahun lepas kepada 2,000 tan setahun pada masa akan datang.

“Justeru, penambahan keluasan dan lebih banyak kawasan tanaman koko yang matang diharap akan dapat meningkatkan pengeluaran biji koko di negeri ini melebihi 2,000 tan setahun pada masa akan datang,” ujar beliau.

Menurut Dompok, harga purata biji koko kering pada masa ini adalah tinggi iaitu sekitar RM8,000 hingga RM9,500 bagi setiap tan berbanding harga 10 tahun yang lalu.

Katanya, harga ini dijangka akan bertahan memandangkan situasi politik yang tidak stabil di Ivory Coast yang merupakan negara pengeluar koko terbesar dunia.

“Saya berharap para pekebun kecil koko di wilayah utara Sarawak akan mengambil peluang ini dengan mengusahakan kembali tanaman koko yang terbiar atau mengusahakan kawasan tanaman koko yang baru,” ujarnya.

“Saya juga percaya kawasan Bekenu berpotensi untuk menjadi salah satu kawasan pengeluaran koko yang utama di Sarawak,” katanya sambil menambah LKM mempunyai teknologi dan kepakaran untuk membantu para pekebun kecil di sini meningkatkan produktiviti tanaman koko mereka.

Pada masa sama, beliau turut menggalakkan para pekebun kecil di sini menubuhkan kelompok-kelompok penanam koko atau koperasi penanam koko untuk memastikan pemindahan teknologi oleh pihak LKM kepada para pekebun di sini dapat dilaksanakan dengan cara lebih cekap dan berkesan.