Jalan raya rancakkan lagi ekonomi

0

Jalan di DUN Pelawan dinaik taraf laluan ke projek SCORE di Tanjung Manis

BAKAL PESAT: Goh (dua kanan) serta yang lain meninjau projek naik taraf Jalan Lapangan Terbang Lama Sibu, semalam.

SIBU: Naik taraf beberapa jalan raya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi penduduk di situ dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Menurut ADUN Pelawan Vincent Goh, keadaan akan bertambah pesat apabila jalan tersebut akan menjadi laluan utama serta dihubungkan ke Jalan Tanjung Manis yang akan dibangunkan dengan projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Itulah keistimewaan di DUN saya ini. Salah satu jalannya ialah Jalan Lapangan Terbang Lama Sibu yang kini sedang dalam proses dinaik taraf dan ia dijangka siap pada awal Mac depan.

“Jalan itu akan menghubungkan kawasan ini dengan Tanjung Manis serta bakal menjadi laluan terpenting di bahagian ini,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Terdahulu, beliau melakukan tinjauan terhadap projek naik taraf Jalan Lapangan Terbang Lama Sibu di sini.

Jalan tersebut akan dinaik taraf sehingga ke Jalan Sungai Merah Lorong 2 dan dijangka siap Mac depan.

Sehubungan itu, menurut Goh, jalan-jalan yang di bawah DUN Pelawan yang bakal dibangunkan ialah Jalan Airport Lama, Sungai Merah dan Teku.

“Ketiga-tiga kawasan ini adalah pintu masuk utama ke Jalan Pan Borneo iaitu jalan yang menghubungkan Sibu ke kawasan Tanjung Manis.

“Selain pembangunan dari segi jalan rayanya, kawasan itu turut dirancakkan lagi dengan pelaksanaan pembangunan seperti naik taraf jalan raya untuk dilebarkan, pembinaan pasar raya utama, pusat komersil dan perumahan.

“Ini sudah semestinya membuka banyak peluang pekerjaan atau sebagainya dalam usaha kita membangunkan ekonomi penduduk di kawasan DUN Pelawan,” jelasnya.

Kerancakan pembangunan yang dilaksanakan di DUN Pelawan katanya, menunjukkan bahawa kawasan tersebut antara kawasan yang bakal menjadi tumpuan kelak memandangkan ia adalah salah satu laluan terpenting di bahagian ini.

“Dengan pembangunan yang bakal didirikan itu kelak, ia secara tidak langsung mampu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di bahagian ini sekali gus merancakkan lagi ekonomi rakyat,” tambahnya yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Rajang (RPA).

Katanya lagi, pelaksanaan pembangunan itu telah menunjukkan kerajaan negeri ini begitu prihatin terhadap pembangunan rakyat.