Kerajaan BN tiada masalah laksana pelbagai projek pembangunan

0

SRI AMAN: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai sebarang masalah untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di negeri ini sekiranya rakyat terus berdiri teguh di belakang parti-parti komponen BN Negeri dan Pusat.

SUMBANGAN KERAJAAN: Francis menyerahkan sumbangan daripada kerajaan negeri kepada Biro Wanita Rumah Nyameng sambil diperhatikan oleh Hairani (kiri) semasa berlangsungnya program berkenaan.

Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Francis Harden Hollis berkata wajah pembangunan negeri Sarawak pada hari ini adalah hasil sokongan padu rakyat berbilang kaum terhadap dasar politik pembangunan yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Katanya, menerusi dasar politik pembangunan yang dibawa oleh Taib, rakyat sekarang telah banyak menikmati pelbagai kemudahan asas serta peningkatan taraf hidup.

Oleh yang demikian katanya, sokongan berterusan seperti inilah dimahukan daripada rakyat supaya kerajaan dapat terus merangka serta melaksanakan pelan pembangunan di semua kawasan dalam negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Rasmi Program Jiwa Murni anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sri Aman di Rumah Nyameng, Klassen Simpang dekat sini semalam.

Harden turut menambah bahawa pihak pembangkang tidak akan mampu membawa sebarang pembangunan kepada rakyat sekiranya mereka memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri ini.

Ini kerana kata beliau, pembangkang tidak akan mampu merangka kembali dasar pentadbiran dan pembangunan kerajaan sepertimana yang telah BN lakukan selama ini demi kebaikan rakyat.

“Justeru untuk melihat negeri ini terus maju pada tahun-tahun akan datang saya menasihatkan semua rakyat agar terus memberikan sokongan padu kepada BN dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan masing-masing,” katanya.

Turut hadir Pegawai KEMAS Daerah Sri Aman Hairani Solo, Penolong Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman Afiq Hazwan Abdullah dan wakil Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman Kingston Kuan.

Pada majlis yang sama, Harden turut mengumumkan peruntukan kerajaan berjumlah RM5,000 kepada JKKK Rumah Nyameng bagi kegunaan menjalankan aktiviti sepanjang tahun mereka.

Dalam pada itu, Harden turut menyampaikan sumbangan berbentuk hamper serta peralatan dapur kepada JKKK dan Biro Wanita rumah panjang berkenaan yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak.