Ubah sikap demi alam sekitar

0

Kejayaan sesuatu perkara atau usaha berkait rapat dengan mentaliti dan sikap individu berkenaan, kata Tan Joo PhoiOleh Jessica Jawing

PENGGUNAAN LESTARI: Tan (kiri) menyerahkan beg mesra alam sempena kempen Hari Tanpa Beg Plastik kepada salah seorang pengunjung pasar raya Boulevard. Turut kelihatan Wan Uzir (dua kiri) dan Liew (kanan). — Gambar Jeffery Mostapa

KUCHING: Pengguna perlu bersedia mengubah sikap dan mentaliti mereka terutamanya dalam usaha kempen memelihara alam sekitar, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Alam Sekitar) Tan Joo Phoi.

Ini kerana, katanya kejayaan sesuatu perkara atau usaha berkait rapat dengan mentaliti dan sikap individu itu.

Misalnya kata Tan dalam kempen pengurangan penggunaan plastik, terdapat sesetengah pengguna memarahi juruwang sekiranya tidak memberi atau hanya memberi beberapa helai beg plastik sahaja.

“Oleh sebab itu, saya berharap kempen Hari Tanpa Beg Plastik ini akan menjadi batu loncatan dalam mengubah sikap pengguna agar setiap tindakan harian pengguna dapat menyumbang ke arah memelihara alam sekitar serta penggunaan secara lestari dapat diterapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Hari Tanpa Beg Plastik Peringkat Bahagian Kuching 2011, di pusat beli-belah Boulevard di sini, semalam.

Tan menambah Hari Tanpa Beg Plastik adalah satu kempen yang telah dimulakan kerajaan khasnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bermula awal tahun ini dan perlaksanaannya mula dapat dilihat khasnya di pasar raya.

Namun kata beliau kempen tidak langsung atau kurang dijalankan oleh kedai-kedai runcit, pasar tani dan sebagainya.

“Apa yang saya maksudkan di sini ialah pelaksanaan masih tidak menyeluruh dan penguatkuasaannya masih lemah di bahagian Kuching khasnya.

“Jika betul mahu melaksanakannya semua pihak harus sedar dan bersama-sama menjayakan kempen ini,” tegasnya.

Beliau menjelaskan daripada sudut yang positif, kempen itu sudah pasti memberikan banyak impak kepada alam sekitar bukan sahaja untuk masa sekarang tetapi masa depan generasi muda.

Sehubungan itu beliau menyeru lebih banyak peniaga atau industri supaya tampil dan memberi sokongan terhadap kempen kurangkan penggunaan beg plastik.

Kempen anjuran KPDNKK itu menekankan agar beg plasik tidak dibekalkan bermula pada setiap Sabtu mulai 1 Januari 2011 di seluruh negara.

Bayaran akan dikenakan kepada setiap beg plastik yang ingin digunakan oleh pengguna dan kementerian menggalakkan beg plastik yang dijual terdiri daripada beg mesra alam.

Turut hadir Pengarah Pejabat KPDNKK Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, Residen Bahagian Kuching Liew Jui Ming serta wakil daripada pusat beli-belah Boulevard.