Mahkamah tolak saman Karpal terhadap Ketua Hakim Negara

0

KUALA LUMPUR: Peguam Karpal Singh semalam gagal dalam usaha awalnya mendapatkan perintah mahkamah untuk memaksa Tun Zaki Azmi menjelaskan salah laku Ketua Hakim Negara itu semasa menjadi peguam pada 1987.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aziah Ali menolak permohonan Karpal untuk semakan kehakiman dengan kos RM10,000 untuk dibayar kepada Pejabat Peguam Negara, yang mewakili Zaki.

Dalam keputusannya, Hakim Aziah membenarkan bantahan awal Pejabat Peguam Negara terhadap permohonan Karpal.

Hakim Aziah berkata bahawa kes itu tidak boleh dipertikaikan dan permohonan yang difailkan Karpal adalah remeh dan menyusahkan.

Beliau memutuskan bahawa Karpal sebagai pemohon dalam kes ini gagal untuk memuaskan keperluan bagi perintah mandamus mengikut Seksyen 44(1) Akta Relif Khas 1950 (SRA).

“Adalah jelas tiada alasan yang memerlukan siasatan lanjut,” kata Hakim Aziah.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Karpal berkata beliau akan memfailkan rayuan berhubung keputusan semalam kerana kes ini membabitkan perkara undang-undang dan ia merupakan kes pertama semakan kehakiman terhadap Ketua Hakim Negara.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam-peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi dan Suzana Atan mewakili Ketua Hakim Negara.

Pada 12 Jan lepas, Karpal yang juga pengerusi DAP dan Anggota Parlimen Bukit Gelugor, memfailkan permohonan untuk kebenaran membuat semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah memaksa Zaki menjelaskan salah laku Ketua Hakim Negara itu berikutan pengakuan beliau mengenai perbuatan merasuah kakitangan dan pegawai mahkamah ketika menjadi peguam.

Selain memohon perintah supaya Zaki dihadapkan ke Tribunal Kod Etika Hakim, Karpal juga memohon perintah mahkamah bagi menghalang Zaki daripada menentukan sendiri merit aduan yang dibuat terhadap beliau, mengikut Seksyen 13 Kod Etika Hakim 2009.

Dalam permohonan itu, Karpal berkata aduannya terhadap Zaki wajar didengar oleh seorang Ketua Hakim Negara atau Hakim Mahkamah Persekutuan yang sudah bersara. — Bernama