SMS Riam Road terbukti hebat, juara keseluruhan MSS Miri

0

MIRI: Sekolah Menengah Swasta (SMS) Riam Road muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) peringkat bahagian Miri di sini kelmarin.

SMS Riam Road membuktikan bahawa mereka adalah yang terbaik setelah meraih sebanyak 494 mata, sekali gus menewaskan pencabar terdekatnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri yang sekadar meraih 330 mata dan SMK Lutong dengan 184 mata.

Anugerah atlet terbaik perempuan bawah 14 tahun dimenangi Chai Hui Ying dari SMK Chung Hua Miri yang berjaya memenangi satu pingat emas dalam acara 400 meter sekali gus mencatat rekod baru bahagian iaitu 66.65 saat. Atlet itu turut memenangi satu pingat emas dalam acara 200 meter.

Kategori perempuan bawah 15 tahun menyaksikan kehebatan atlet SMS Riam Road muncul yang terbaik setelah merangkul tiga pingat emas dalam acara 100 dan 200 meter serta lompat jauh. Seorang lagi atlet SMS Riam Road, Yong Sheau Ching turut berkongsi anugerah yang sama setelah memenangi tiga pingat emas dalam acara 100 dan 200 meter lari berpagar serta acara 400 meter.

Kategori perempuan bawah 18 tahun pula menyaksikan Ho Siew Hua dari SMK Chung Hua dan Laura Huang Sih Sy dari SMS Riam Road memenangi gelaran atlet terbaik bagi kategori tersebut.

Ho meraih tiga pingat emas dalam acara larian 800, 1500 dan 3000 meter sementara Huang memenangi tiga pingat emas dalam acara 100 dan 400 meter lari berpagar serta acara 200 meter.

Bagi bahagian lelaki pula, atlet SMK Lutong, Jeremy Brandon Danny dinobatkan sebagai atlet terbaik bagi kategori bawah 14 tahun setelah mencipta rekod baru kejohanan dalam acara 200 meter dengan masa 27.98 saat. Beliau turut memenangi pingat dalam acara 110 meter lari berpagar.

Kategori bawah 15 tahun menyaksikan anugerah atlet terbaik dimenangi oleh Gwin John Lana dari SMS Riam Road setelah beliau memenangi tiga pingat emas dalam acara larian 800 dan 1500 meter serta acara 2000 meter lari berhalangan.

Sementara atlet terbaik bawah 18 tahun pula disandang oleh Immanlendez Jose dari SMK Subis dan Pius Among dari SMS Riam Road.

Immanlendez meraih dua pingat emas dalam acara lompat jauh dan lompat kijang serta memperolehi satu pingat perak dalam acara lompat tinggi.

Pius pula membawa pulang dua pingat emas dalam acara larian 400 meter dan 400 meter lari berpagar serta satu pingat perak dalam acara larian 200 meter.

Majlis penutupan telah disempurnakan petang kelmarin oleh Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin yang turut dihadiri oleh Pegawai Pelajaran Miri, Rosnani Yunus serta yang lain.