Dana RM2 juta untuk beli karya tempatan

0

KUALA LUMPUR: Kabinet meluluskan peruntukan RM2 juta bagi pembelian terus karya-karya dalam bahasa kebangsaan yang dihasilkan oleh penulis tempatan, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Peruntukan itu adalah untuk tahun 2011, katanya kepada pemberita di Angkasapuri semalam.

“Peruntukan ini adalah sebenarnya sambungan daripada peruntukan yang tergencat beberapa tahun lalu,” katanya.

Rais berkata Perpustakaan Negara Malaysia akan membayar terus kepada penulis untuk karya mereka yang bergantung kepada beberapa syarat.

“Bila penulis hendak menjual buku kepada Perpustakaan Negara yang nanti akan mengedar kepada perpustakaan-perpustakaan desa, maka dibelilah karya masing-masing. Setakat mana dibeli bergantung kepada kemampuan penulisan dan mutunya,” kata beliau.

Rais berkata beliau yakin dana itu boleh membantu masyarakat penulis khususnya mereka yang produktif menghasilkan buku tulisan mereka sendiri tanpa penglibatan orang tengah.

Menjawab satu soalan, beliau berkata dana itu hanya untuk penulisan dan karya dalam bahasa kebangsaan.

“Kita utamakan bahasa kebangsaan untuk memupuk masyarakat Malaysia demi menjayakan gagasan 1Malaysia. Kita akan tambah (peruntukan), InsyaAllah kalau lebih ramai penulis benar-benar menzahirkan karya yang bermutu dan produktif,” katanya. — Bernama