Pasaran makanan masih luas

0

Banyak peluang untuk dimanfaat peladang, penternak dan nelayan Sarawak: KM

BINTULU: Pasaran maka-nan untuk negeri Sarawak lebih besar dengan tawaran harga lebih baik yang mampu membuka banyak peluang kepada peladang, penternak dan nelayan negeri ini.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, peluang yang ada itu belum digunakan sepenuhnya oleh golongan terbabit.

“Pada tahun 1990 import makanan negeri ini mencecah RM600 juta dan hari ini telah mencecah RM2.8 bilion yang menampakkan pasarannya bertambah besar yang belum diisi sepenuhnya oleh petani dan nelayan yang ada,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) 2011 di tapak lapangan terbang lama Bintulu semalam.

Taib berkata, peluang besar kini menanti dua golongan ini yang menuntut mereka agar bekerja lebih gigih untuk maju.

“Eksport produk pertanian turut meningkat daripada RM1.1 bilion kepada RM6 bilion yang memperlihatkan keupayaan penjualan produk-produk makanan dan bahan pertanian untuk petani dan nelayan amat besar di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, dua golongan ini perlu mengambil pendekatan termoden untuk mengusahakan hasil yang diusahakan bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau berkata, peluang untuk memperolehi hasil yang lebih dalam bidang pertanian bukan hanya tertumpu kepada satu bidang sahaja bahkan bidang-bidang lain juga boleh diterokai antaranya dalam industri pemprosesan makanan berasaskan pertanian.

Ujarnya, hari ini keterlibatan golongan usahawan wanita dalam industri pemprosesan makanan juga semakin bertambah sehingga ada yang mampu bergelar jutawan kek lapis.

Bagaimanapun katanya, pasaran untuk industri kek lapis belum begitu banyak diterokai oleh golongan wanita negeri ini terutamanya di pasaran Semenanjung dan Singapura.

Menurutnya industri kotaj (desa) melibatkan pembungkusan, pengurusan yang teratur serta mengekalkan kualiti dan cita rasa produk makanan tempatan negeri ini untuk eksport juga perlu digalakkan.

“Saya nampak wanita dan lelaki mempunyai peluang besar dalam industri ini khususnya melibatkan pelan dan strategi pemasaran yang berkesan, kawalan mutu serta kualiti makanan untuk eksport,” jelasnya.

Menurutnya, keterlibatan mereka dalam industri ini secara kerjasama akan mampu meningkatkan kualiti dan taraf hidup terutama untuk penduduk di luar bandar.

Taib berkata, pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) akan turut menumpukan penghasilan makanan yang mengekalkan tahap kebersihan dan keselamatannya serta mempunyai jenama tersendiri menerusi penyelidikan dan kajian di pusat pemprosesan makanan di Tanjung Manis sebagai hab halal.

Katanya, antara tumpuan yang dibuat adalah untuk menghasilkan industri makanan halal yang berpotensi besar pada masa depan.

“Pasaran industri makanan halal dunia kini semakin besar iaitu berjumlah AS$600 bilion pada 2009 dan

bakal meningkat kepada AS$1 trilion untuk tempoh tiga tahun akan datang,” jelasnya.

Menurutnya, industri makanan halal itu bukan sahaja boleh diterokai oleh orang Islam bahkan bukan Islam.

Beliau memberi contoh mengenai syarikat Nestle dari New Zealand yang terlibat secara langsung dengan menerokai pasaran yang lebih besar dalam industri makanan halal kerana melihat akan potensi dan keuntungan besar yang diperolehi daripadanya.

“Cara lama tidak akan merubah keadaan kita khususnya dalam usaha kita untuk mencapai ekonomi yang berpendapatan tinggi dalam menerokai industri makanan berasaskan pertanian dan biotek,” jelasnya.

Katanya, pada masa akan datang trend baru sektor pertanian akan terus meningkat baik.

Justeru beliau turut mengumumkan mengenai dua hadiah khas Ketua Menteri untuk keusahawanan dan pemprosesan pertanian pada tahun depan.

Turut hadir isteri Ketua Menteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan isteri, Dato Sri Empiang Jabu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Setiausaha Persekutuan Datuk Yahya Basimin dan menteri-menteri muda.