Kerajaan negeri lulus tempoh cuti bersalin kepada 90 hari

0

KUCHING: Kerajaan negeri meluluskan tempoh cuti untuk wanita bersalin kepada 90 hari berbanding 42 hari sebelumnya pada mesyuarat kabinet yang diadakan semalam.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata kabinet telah bersetuju untuk mengguna pakai pekeliling berkaitan cuti bersalin yang sama bagi negeri ini seperti yang diguna pakai oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kabinet hari ini (semalam) telah meluluskan bahawa kita juga akan menggunakan pekeliling selama 90 hari berbanding 42 hari sebelum ini.

“Walau bagaimanapun, dasar baru ini adalah bersifat fleksibel…sama ada anda nak ambil 90 hari atau tidak dan tidak boleh melebihi daripada 90 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Kabinet Negeri di Bangunan Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Fatimah berkata penyaluran bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) tidak hanya berdasarkan sistem e-Kasih.

Katanya, maklumat murid menerusi sistem sedia ada di peringkat sekolah juga boleh digunakan untuk menyalurkan bantuan tersebut.

Ini, katanya, bukan sahaja baik untuk guru agar lebih tahu mengenai pelajar, malah lebih ramai orang akan menikmati faedah daripadanya.

“Kalau dalam e-Kasih, ada individu yang sepatutnya mendapat bantuan tidak mendapat bantuan disebabkan nama belum didaftarkan.

“Begitu juga dengan rancanganmakanan tambahan. Kita tidak mahu ada di kalangan anakanak yang tercicir daripada mendapat makanan yang berkhasiat serta baik seperti mana KWAPM,” jelasnya.

Mengulas mengenai mesyuarat semalam, Fatimah berkata ia adalah mesyuarat kabinet biasa bagi membincangkan perkaraperkara berkaitan pentadbiran kerajaan.

“Ini adalah agenda biasa dalam kabinet negeri dan hari ini (semalam) kami mempunyai lebih daripada 30 agenda untuk diketengahkan. “Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud terpaksa bergegas awal daripada mesyuarat hari ini (semalam) kerana ada temu janji dengan pihak Badan Amal Kebajikan dan Tenaga Isteri-Isteri Menteri Sarawak (SABATI),” ujarnya.