Tolak pembangkang yang belum pasti dapat jadikan negeri ini lebih baik

0

KUCHING: Rakyat digesa mempertahan dan mengekalkan keadaan baik yang dinikmati di negeri ini sekarang.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, rakyat perlu menolak pihak pembangkang yang belum pasti dapat menjadikan negeri ini lebih baik daripada keadaan sekarang.

“Berilah sokongan kepada mereka yang membawa pembangunan dan jangan ikut mereka yag hanya pandai menabur janji-janji manis.

“Gunakanlah kebijaksanaan anda untuk mempertahan serta mengekalkan keadaan baik yang kita nikmati selama ini,” tegas Daud.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Zikir Ke-18 sempena sambutan Maulidur Rasul anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Muslimin Kampung Gita semalam.

Dalam ucapan yang sama, beliau menyeru umat Islam agar bersatu padu dan memerhatikan keadaan negara-negara Islam lain yang bergolak kerana runtuhnya perpaduan sesama umat Islam, sebagai contoh.

Katanya, walaupun negera-negara Islam terutamanya negara-negara Arab yang hampir semua penduduknya beragama Islam, disebabkan perpecahan, negara mereka menjadi kucar-kacir.

“Kalau kita lihat negara Arab seperti Iraq, hampir semua penduduknya adalah beragama Islam tetapi mereka berpecah kepada puak Syiah, Sunah dan sebagainya dan akhirnya mereka berbunuhan sesama sendiri.

“Sama juga seperti negara-negara seperti Afganistan, Libya, Mesir, Yaman dan beberapa negara lain yang sedang bergolak sekarang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya tidak terikut-ikut dengan revolusi yang berlaku di sana kerana di negeri ini, tiada sebab untuk rakyat untuk tidak puas hati.

Dalam pada itu, bercakap mengenai pertandingan zikir, beliau berkata program seumpama itu merupakan salah satu cara untuk berdakwah kepada masyarakat.

Selain sebagai satu cara untuk berdakwah, program seumpama itu juga merupakan cara untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan Umat Islam sekali gus menguatkan Ukwah.

Dalam pertandingan zikir tersebut, empat ketegori dipertandingkan iaitu ketegori lelaki dan wanita dewasa dan kategori lelaki dan perempuan remaja.

Untuk kategori lelaki dewasa, johan adalah Kumpulan Zikir Kampung Sambir dan untuk kategori Wanita, johan adalah Suara Wawasan dari Kampung Samariang Batu.

Untuk kategroti lelaki remaja pula, johan jatuh kapada Putera Gita dan untuk remaja perempuan, johan adalah Kumpulan Zikir Kampung Rampangi.

Hadir sama adalah Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Invasi yang juga merupakan Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof dan Pengerusi Pengelola Jamil Razali.