Ibu tunggal sedih kenang nasib Rumahnya hampir runtuh, hidup dengan dua anak begitu daif

0

HAMPIR TUMBANG: Fatimah menahan tiang rumahnya yang hampir-hampir tumbang ketika ditemui di kediamannya, Jalan Matang Baru Kuching, semalam.

KUCHING: Melihat keadaan rumahnya yang hampir runtuh sudah tentu masyarakat prihatin berdetik hati untuk menghulurkan bantuan kepadanya.

Tetapi, sebaliknya apa yang berlaku terhadap seorang ibu tunggal, Fatimah Abdullah, 39, yang tinggal di tengah-tengah bandar raya ini tiada siapa yang mengerti akan nasibnya.

Fatimah ditemui di kediamannya di Jalan Matang Baru, di sini semalam ternyata sedih mengenang nasibnya bersama-sama dua anak lelakinya iaitu Mohd Salihin Zaidel, 20, dan adiknya Mohd Aiddy, 16, yang tinggal di rumah usang.

“Beginilah keadaan rumah saya yang menunggu masa untuk runtuh.

Atap rumah berlubang, lantai berjongkit, bilik tidur dua anak saya bocor dan juga dapur kami berat mata memandang berat lagi bahu memikul,” kata Fatimah dengan nada sedih menunjukkan keadaan rumahnya.

Fatimah yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pasar raya di sini amat bersedih dengan keadaan hidupnya yang begitu daif setelah suaminya meninggalkan mereka.

“Saya bekerja sebagai tukang cuci dengan gaji hanya RM380 sebulan sahaja. Masa saya bekerja mulai jam 8 pagi hingga 2 petang.

“Selepas saya balik kerja… saya akan membuat apa sahaja kerja-kerja yang dapat mendatangkan rezeki seperti disuruh jiran-jiran atau rakan-rakan mencuci pakaian dan mengemas rumah,” katanya.

Fatimah memberitahu dengan gajinya yang hanya RM380 itu sememangnya tidak mampu menyara keluarganya meskipun mereka hanya bertiga sahaja.

Malah, anak lelakinya yang berusia 16 tahun itu terpaksa bersekolah hanya tingkatan satu dan tidak mampu meneruskan pelajaran atas tekanan hidup yang miskin.

“Anak saya cuma mampu bersekolah dalam tingkatan satu pada 2008 dan tidak mampu meneruskan persekolahan atas masalah kewangan yang menghambat kami,” katanya sambil memberitahu anaknya yang sulung telah tamat tingkatan lima tetapi belum mempunyai pekerjaan tetap.

Menurut Fatimah, beliau pernah mengajukan masalah kesempitan hidupnya kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beliau baru sahaja menerima bantuan bulanan berjumlah RM100 sebagai percubaan.

“Pihak JKM telah memberitahu saya bahawa bantuan bulanan itu baru diluluskan bulan Mac ini dan mungkin saya dapat bantuan itu pada bulan depan.

“Saya juga telah ditawarkan oleh pihak Suruhanjaya Pembangunan Perumahan Sarawak (SPPS) untuk mendiami rumah flat di Taman Dahlia, Matang Batu 5 pada Januari lalu tetapi sehingga sekarang kami belum dapat berpindah,” katanya.

Fatimah yang sudah hampir 20 tahun tinggal di situ memberitahu bahawa rumah mereka tidak dibekalkan bekalan air dan elektrik.

“Kami hanya bergantung kepada air hujan menerusi tadahan sebuah tong dan telaga untuk memperolehi sumber air. Sementara bateri digunakan sebagai bekalan elektrik untuk menerangi rumah kami pada waktu malam,” katanya.

Fatimah yang merupakan anak tunggal perempuan dalam keluarganya berkata sememangnya beliau ada mempunyai keluarga dan adik-beradik tetapi mereka mempunyai tanggungjawab keluarga masing-masing.

“Manalah saya dapat setiap hari meminta bantuan kepada keluarga. Mereka pun hidup susah juga seperti saya dan menjaga keluarga masing-masing,” katanya sambil memberitahu bahawa dengan gaji yang sekecil itu sahaja beliau menyara hidup keluarganya.