Impak bencana Jepun mulai dirasai sektor ICT, auto dunia

0

PENGELUAR peralatan telekom mudah alih terkemuka menyertai pengeluar kenderaan dalam memberi amaran mengenai masalah yang menjejaskan bekalan tatkala kesan bencana Jepun merebak, meningkatkan kebimbangan dalam sektor yang terjejas oleh kekurangan.

KERUGIAN BESAR: Seorang pekerja Toyota Motor memeriksa kenderaan Lexus yang baru siap dipasang di lojinya di Tahara, tengah Jepun. Toyota berkata minggu lepas bahawa ia memulakan semula beberapa bahagian pengeluaran di tujuh loji kecil dekat ibu pejabat utamanya di bandar raya Toyota, selepas penutupan beberapa hari yang dipercayai menyebabkan kerugian berbilion yen. — Gambar Reuters

MASALAH BESAR: Sebuah komputer riba berselaput lumpur di satu kawasan kediaman yang musnah di Kesennuma, daerah Miyagi. Berikutan ramai pengguna kehilangan peranti mudah alih mereka dalam bencana gempa bumi dan tsunami di Jepun, ada kemungkinan permintaan akan melambung selepas ini namun risiko pengeluaran terhenti jauh lebih membimbangkan pengeluar di seluruh dunia. — Gambar Reuters

Jepun, lokasi pengeluaran kelima terbesar dunia bagi semikonduktor, telah menyaksikan kilang-kilang yang mengeluarkan apa sahaja daripada cip dan alat ganti kereta ditutup susulan gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac, mengancam bekalan kepada pengeluar di seluruh dunia.

Kebanyakannya merangka pelan kecemasan, berebut untuk meraih sumber komponen utama dari tempat lain di samping mengira inventori sedia ada untuk memastikan pengeluaran berterusan.

Ericsson, Alcatel-Lucent dan pengeluar cip STMicroelectronics semuanya memberi amaran tentang kemungkinan impak ke atas bekalan, mengulangi kebimbangan yang disuarakan dalam sektor kenderaan, di mana penutupan loji alat ganti dan kereta utama Jepun boleh menjejaskan pengeluar kenderaan Amerika Syarikat dalam tempoh sesingkat dua minggu.

Jepun merupakan pembekal utama sektor teknologi dan auto global, menjadikan gangguan berpanjangan mengancam kedua-dua bidang.

Penganalisis telah berkata bahawa sekiranya rangkaian bekalan terputus meskipun untuk beberapa minggu sahaja, impaknya dapat dirasai dalam kenaikan harga dan kekurangan gajet seperti iPad Apple, komputer tablet lain, telefon pintar dan komputer untuk jangka masa berbulan-bulan akan datang.

“Boleh dikatakan semuanya terhenti atau kebanyakannya akan terkandas sepanjang April kerana walaupun sebelum krisis berlaku, industri sudah menghampiri kapasitinya.

“Saya menjangka impak ke atas suku pertama disebabkan baki Mac dan juga bagi suku kedua gara-gara sepanjang April,” jelas Earl Lum, pengarah firma penyelidikan komponen dan alat telekom EJL Wireless, ketika ditemui koresponden Niklas Pollard di Stockholm baru-baru ini.

RISIKO PENANGGUHAN

Ancaman penangguhan sudah memberi kesan ke atas harga cip kerana walaupun jika kerosakan loji pengeluaran terhad, gangguan pengangkutan dan tenaga boleh mewujudkan kekurangan bekalan yang ketara.

“Ada kemungkinan kita mempunyai sektor teknologi menyamai Lehman Brothers di hadapan kita dan kejutannya akan dirasai dengan meluas,” kata penganalisis Nordea Sami Sarkamies, sambil menambah bahawa sekiranya hanya satu alat dalam seribu jenis yang diperlukan hilang, ia akan menyebabkan produk tidak dapat disiapkan.

Rubicon Technologi yang berpangkalan di Illinois Park, Illinois mengakui melihat peningkatan permintaan untuk bahan seperti ekstrak nilam daripada pelanggan Jepun dalam industri LED disebabkan gangguan bekalan dalam negara tersebut.

Pengeluar telefon pintar Research In Motion mempunyai pendedahan kepada pembekal Jepun dan sedang memeriksa impak bencana ke atas pengeluarannya.

Dalam petanda kecil kestabilan dalam sektor cip, harga khusus memori flash jenis NAND, amat penting dalam iPad dan peranti mudah alih lain, jatuh 3.8 peratus minggu lepas selepas melambung sejak bencana.

Toshiba, yang membekalkan kira-kira satu pertiga NAND dunia, sedang memeriksa peralatannya selepas bencana menyebabkan penutupan sementara lojinya di Yokkaichi.

Qualcomm berkata, ia akan mengambil stok penimbal bahan-bahan yang digunakan untuk membuat cip mudah alih dan tidak menjangka masalah ketara dalam membekalkan produk kepada pelanggannya.

Infineon Jerman pula berkata, meskipun ada krisis bekalan, impaknya mungkin sementara ke atas sektor cip secara keseluruhan.

Ericsson berkata, masih terlalu awal untuk mendapatkan gambaran tepat mengenai betapa teruknya perniagaan di Jepun terjejas, tetapi ia tidak menjangka impak besar ke atas jualan suku pertama.

Pengeluar cip Eropah STMicro berkata, ia melihat risiko ke atas pendapatan suku pertama dan kedua tetapi masih menegaskan unjuran semasa.

Syarikat peralatan telekom Perancis Alcatel-Lucent bergantung kepada pembekal di Jepun untuk komponen seperti memori dan akan mencari sumber alternatif sekiranya perlu.

Nokia Siemens pula menyumber sejumlah kecil komponen dari Jepun dan belum dapat mengenal pasti sebarang impak daripada bencana tersebut.

Lum dari EJL Wireless berkata, kesan bencana ke atas sektor akan dirasai dalam tempoh masa tertentu bagi kebanyakan syarikat.

“Dengan isu nuklear masih tidak jelas, masalah ini tidak akan selesai dalam jangka masa terdekat.

“Saya tidak menjangka inventori mampu bertahan melebihi dua atau tiga minggu dalam rangkaian bekalan,” tegas Lum.

LOJI DITUTUP

Di Jepun, pengeluar elektronik memberi amaran pengeluaran akan terjejas oleh masalah pengedaran dan bekalan lanjut tatkala syarikat bergelut dengan gangguan tenaga.

Canon berkata ia akan menggantung pengeluaran di salah satu loji utamanya di selatan Jepun akibat masalah pengedaran dan bekalan bahagian, manakala Nikon berkata, penggantungan loji peralatan tepatnya di utara Jepun akhirnya akan menjejaskan kilang yang lebih hampir dengan Tokyo, yang dipercayai mampu kehabisan alat ganti.

Toyota Motor berkata ia akan menggantung pengeluaran di semua loji kereta domestiknya sehingga sekurang-kurangnya 16 Mac, mengurangkan pengeluaran sebanyak sekurang-kurangnya 40,000 kenderaan.

Honda pula berkata, lojinya di Jepun akan ditutup sehingga 20 Mac.

Kiraan kasar menunjukkan impak penggantungan pengeluaran ke atas keuntungan untuk sehari akan mencecah enam bilion yen bagi Toyota dan dua bilion yen bagi Honda dan Nissan, menurut laporan Goldman Sachs.

Kebimbangan tentang gangguan tenaga menyeluruh yang akan menjejaskan Tokyo dan kawasan sekitarnya dalam tempoh beberapa minggu ini meningkatkan cabaran sedia ada dalam pemeriksaan dan pemulihan loji utara Jepun di sebalik gegaran susulan.

Meskipun utara Jepun kurang berpenduduk dan tidak berpusatkan industri berbanding kawasan tengah dan barat, ia merupakan fokus penting untuk pengeluaran tenaga nuklear.

“Pada peringkat ini, masih tidak jelas bagaimana gangguan tenaga akan menjejaskan pengeluaran pengeluar dan perniagaan.

Penganalisis percaya pelabur kemungkinan menolak risiko, lebih-lebih lagi berikutan kebimbangan mengenai kebocoran radiasi di loji nuklear utara Tokyo, yang digegarkan oleh letupan hidrogen kedua pada 14 Mac.

Saham dalam Sony Corp merudum 9.1 peratus selepas syarikat tersebut menggantung pengeluaran di lapan lojinya di wilayah terjejas dan tidak pasti bila pengeluaran dapat dimulakan semula.

Saham Nissan jatuh 9.5 peratus apabila pengeluar auto itu menutup kesemua empat loji pemasangan keretanya di Jepun.

Toshiba, konglomerat yang menghasilkan produk seperti semikonduktor dan reaktor nuklear, mengakui tidak tahu bila ia dapat membuka semula kilang cipnya di utara Jepun.

“Potensi impak daripada situasi di loji tenaga nuklear TEPCO adalah perbezaan terbesar di antara bencana kali ini dengan Gempa Besar Hanshin,” kata pakar strategi ekuiti Kiichi Murashima di Citigroup, merujuk kepada bencana Kobe 1996.

Namun suasana kekeliruan dan kebimbangan menguasai sebahagian besar korporat Jepun, manakala masalah pengangkutan menyebabkan ramai pekerja terkandas di rumah.

“Kami tidak tahu bila kami boleh memulakan semula pengeluaran di loji-loji yang tertangguh.

“Kami juga tidak dapat merancang pelan kerana jadual gangguan tenaga TEPCO tidak dapat ditentukan, malah kami bergelut untuk mendapatkan maklumat,” kata jurucakap Canon. — Reuters