Weststar sedia khidmat helikopter untuk syarikat minyak dan gas

0

PAKAR pengangkutan luar pantai, Weststar Aviation Services Sdn Bhd, telah menerima penyerahan tiga buah helikopter terakhir daripada sembilan buah helikopter Augusta Weststar (AW139) yang ditempahnya untuk digunakan bagi pelaksanaan misi pengangkutan luar pantai untuk menyokong operasi minyak dan gas luar pantai di negara ini.

PETALING JAYA, 21 Mac -- Salah sebuah daripada tiga pesawat helikopter jenis Augusta Weststar (AW139 ) di bawa keluar daripada pesawat Antonov Aircraft ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang di sini, hari ini. Helikopter itu yang akan beroperasi secara rasminya awal bulan depan itu digunakan bagi pelaksanaan misi pengangkutan luar pantai untuk menyokong operasi minyak dan gas luar pantai di negara ini. -- fotoBERNAMA (2011) HAKCIPTA TERPELIHARA

Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, berkata syarikat itu menyewa khas satu daripada kapal terbang terbesar di dunia, pesawat Antonov, untuk mengangkut helikopter itu.

Helikopter itu akan beroperasi secara rasminya awal bulan depan dengan enam helikopter ditempatkan di Kertih, Terengganu dan dan tiga lagi di Pengkalan Chepa, Kelantan, kata Syed Azman selepas ketibaan tiga unit Augusta 139 itu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah kelmarin.

Weststar, pengusaha penerbangan luar pantai AW139 keempat terbesar di dunia itu menyediakan perkhidmatan helikopter kepada syarikat minyak dan gas seperti Esso Production Malaysia Inc. dan Petronas Carigali Sdn Bhd.

“Kami pasti AW139, dengan prestasi cemerlang, serta ciri-ciri keselesaan dan keselamatannya akan terbukti amat berjaya dalam pasaran luar pantai keseluruhannya di rantau ini,” tegas Syed Azman.

Bagi masa depan, kata Syed Azman, syarikat itu akan berusaha untuk memperluas perniagaannya dalam operasi minyak dan gas luar pantai serantau.

Beliau juga berkata syarikat itu sedang mempertimbang untuk membeli beberapa unit helikopter tahun ini untuk memperluas lagi perniagaannya.

Kumpulan itu juga pakar dalam kerja-kerja mengangkut pekerja ke pelantar pengeluaran dan pelantar penggerudian luar pantai serta satu daripada pembekal pesawat sewa awam, perkhidmatan mencari dan menyelamat, perubatan kecemasan serta perkhidmatan latihan, kejuruteraan dan teknikal. — Bernama