Kestabilan politik lonjak sektor pelancongan Sabah

0

SELAMAT DATANG: Musa bersalaman dengan Hua Jianmin (kiri) ketika mengadakan kunjungan hormat kepada beliau di Kota Kinabalu, semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berharap lebih ramai pelancong China mengunjungi Sabah yang mempunyai pelbagai tarikan selain kestabilan politiknya.

Menyambut kunjungan hormat Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap bagi Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) Hua Jianmin dan delegasinya di kediaman rasminya di Sri Gaya di sini semalam, beliau berkata seramai 100,000 daripada dua juta pelancong China yang melawat Malaysia tahun lepas, datang ke Sabah.

Musa juga mengakui kepentingan China sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia dengan berkata Sabah mendapat faedah daripada hubungan itu.

Beliau turut mempelawa pelabur-pelabur China melawat Sabah dan memanfaatkan pembangunan sektor industri di negeri itu.

Sementara itu, Hua berkata peningkatan rakyat China berkunjung ke Malaysia membuktikan hubungan akrab yang terjalin antara kedua-dua negara.

Katanya beliau kagum dengan tarikan pelancongan Sabah. — Bernama