Sokongan Jawah dan abangnya pastikan Batang Ai sukar dirampas pembangkang

0

KUCHING: Pihak pembangkang akan mendapati sukar untuk merampas kerusi luar bandar Barisan Nasional (BN), Batang Ai memandangkan penyandangnya telah mendapat sokongan daripada bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang dan abangnya Tuai Rumah Lepang Gerang.

Menurut penyandang kerusi itu, Malcolm Mussen La-moh, adik-beradik Gerang itu mempunyai banyak pengaruh di konstituensi itu dan sokongan tersebut akan memberi kelebihan kepada BN pada pilihan raya 16 April ini.

Mussen dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang dijangka akan mempertahankan kerusi itu untuk BN berkata, beliau yakin mendapat sokongan daripada kedua adik-beradik itu berdasarkan hasil perbincangan dengan Lepang apabila melawat rumah panjang beliau di Nanga Kumpang, Sayat, Batang Ai pada 18 Mac lalu dan juga untuk melancarkan Skim Pembekalan Elek-trik Luar Bandar di situ.

Mussen mendakwa beliau turut berbincang dengan Jawah yang berjanji akan berdiri di belakang Mussen demi kesejahteraan rakyat.

Ketika ditemui di sini malam Isnin, Mussen berkata: “Saya mempercayai pepatah ‘Tak Kenal Maka Tak Cinta’. Justeru, saya melawat semua penduduk rumah panjang yang tidak mengundi saya pada pilihan raya kecil Batang Ai 2009.

“Sekarang mereka me-ngenali saya, mereka mempunyai pandangan yang berbeza terhadap saya,” katanya.

Beliau berkata, ketika beliau bertugas sebagai penjawat awam sebagai jurutera di Jabatan Pertanian, beliau tidak dapat melawat semua rumah panjang di Batang Ai kerana terpaksa berkhidmat di seluruh Sarawak.

Tetapi selepas menjadi wakil rakyat, beliau dapat pergi ke semua tempat yang tidak pernah dikunjungi sebelum ini, katanya yang juga bekas pensyarah universiti.

Katanya, pada pilihan raya kecil April 2009, BN kalah di Nanga Kumpang Sayat (rumah Gerang), selain Jelak, penempatan semula Sempang dan Gugu.

Beliau menjelaskan beliau mungkin tewas di kawasan itu kerana mereka sudah biasa dengan Jawah yang mewakili mereka dalam kerajaan BN sebelum bertukar ke pembangkang pada pilihan raya kecil itu.

Mussen yakin penduduk di empat kawasan itu akan menyokongnya kerana beliau sudah melawat mereka dan menjelaskan BN tidak akan meninggalkan mereka dalam pembangunan.

“Selama ini atau sejak 25 tahun, mereka sudah biasa dengan Jawah sebagai wakil rakyat sehingga beliau kalah pada pilihan raya kecil.

“Sudah dua tahun berlalu, mereka mula mengenali dan memahami saya,” katanya.