Monday, January 18

2,000 set dekoder dibekal atasi masalah penerimaan isyarat radio

0

LUNDU: Sebanyak 2,000 set dekoder akan dibekalkan ke kawasan pedalaman di negeri ini bagi mengatasi masalah penerimaan isyarat radio.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan  Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim berkata, langkah itu adalah sejajar dengan pelancaran program TVI pada 10 April ini.

“Sebanyak 2,000 set dekoder akan dibekalkan kepada semua rumah panjang di kawasan pedalaman negeri ini bagi mengatasi masalah penerimaan isyarat radio dan juga televisyen yang kurang memuaskan,” katanya.

Menurut beliau juga pembekalan dekoder itu adalah usaha sama dengan syarikat penyiaran ASTRO.

“Justeru itu dengan adanya kerjasama ini, kita mengharapkan agar masalah mengenai penerimaan siaran radio ini akan dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kampung Tanpa Wayar Sileng Dayak dan Program Merakyatkan Seni (PMS) Budaya 1Malaysia di sini semalam.

Selain itu, menurut beliau, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kini juga dalam usaha untuk memperbaiki laluan dan lintasan radio di kawasan pedalaman.

“Di samping mendapat kerjasama daripada ASTRO, RTM kini juga dalam memperbaiki sistem penyiaran agar dapat membekalkan perkhidmatan yang terbaik di kawasan pedalaman.

“Pada masa ini juga, pihak ASTRO juga sedang mengkaji aspek teknikalnya,” katanya.