
PERANAN DIHARGAI: Muhyiddin menyampaikan cek kepada Aeries yang mewakili sekolah mubaligh di Kuching.
KUCHING: Peruntukan RM6.35 juta diagihkan kepada 127 sekolah mubaligh di Sarawak semalam menunjukkan pengiktirafan kerajaan terhadap usaha institusi keagamaan dalam membantu kerajaan melahirkan modal insan berkualiti ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, ia bukan pemberian pilihan raya kerana peruntukan tersebut dirancang di bawah Bajet 2011 yang memperuntukkan RM31.674 juta kepada sekolah mubaligh di negeri ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan akan terus membantu dari segi kewangan kepada sekolah mubaligh berikutan kejayaan melahirkan pelajar-pelajar cemerlang.
Peruntukan yang diagihkan semalam merupakan sebahagian daripada RM25.68 juta yang dijanjikan pada 30 Mac lepas.
Baki RM19.33 juta akan diberi berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa.
Kesinambungan pengiktirafan kerajaan terhadap sekolah mubaligh, menurut beliau, terbukti apabila kerajaan memperuntukkan RM40.103 juta kepada sekolah mubaligh di Sarawak pada 2009 dan 2010 menerusi Pakej Ransangan Ekonomi.
Daripada 127 sekolah yang menerima RM50,000 setiap satu semalam, 46 adalah dari Kuching, Samarahan 20, Sibu 12, Betong 11, Kapit 9, Mukah 7, Sri Aman 7, Miri 6, Sarekei 6, Limbang 2 dan Bintulu 1.
Terdahulu, Penolong Bishop Gereja Anglican Kuching Reveran Utama Aeries Sumping Jingan memohon kerajaan agar menyediakan peruntukan lebih sistematik kepada sekolah-sekolah mubaligh.
Beliau berkata, sekolah-sekolah tersebut mempunyai peranan penting dalam bidang pendidikan sejak sekolah mubaligh pertama ditubuhkan pada 1848.
“Kita berharap kerajaan dapat terus membantu sekolah mubaligh lebih kerap dan sistematik agar kita mampu meneruskan peranan melahirkan pelajar cemerlang,” katanya.