Monday, January 18

RM19j basmi miskin bandar S’wak, Sabah

0

MIRI: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar tahun ini memperuntukkan sebanyak RM19 juta untuk membasmi kadar kemiskinan di kawasan bandar di Sarawak dan Sabah.

Menterinya, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, peruntukan yang besar ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup serta mengurangkan kadar kemiskinan tegar dan miskin di kawasan bandar seluruh negara di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Ujar beliau, peruntukan itu termasuk kos membiayai projek bantuan perumahan bandar berjumlah RM7.5 juta, bantuan sewa rumah RM4.16 juta, program bina upaya RM3 juta, program menjana pendapatan RM4.7 juta dan pembangunan minda insan RM600,000.

“Untuk Sarawak, kita berjaya mengesan seramai 152 keluarga dikategorikan miskin tegar, manakala miskin seramai 1,659, diikuti mudah miskin seramai 3,061 keluarga.

“Peruntukan ini diberikan di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) bagi meningkatkan kualiti golongan ini.

Tahun lalu, seramai 1,045 keluarga miskin tegar dan miskin di Sarawak menerima bantuan sewa rumah sebanyak RM1,488 setahun untuk setiap keluarga membabitkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta,” katanya pada sidang media selepas penyampaian bantuan kesejahteraan bandar di Dewan Pemaisuri, Permyjaya, semalam.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM53,568 diagihkan kepada 36 keluarga di bahagian Miri manakala bantuan sewa rumah RM108,624 disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM11,904 telah disalurkan kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) melibatkan lapan keluarga.

“Sehingga Februari tahun ini, seramai 879 ketua isi rumah di Sarawak telah didaftarkan untuk menerima saham Amanah Saham Wawasan 2020 atau ASW Bandar di mana 64 penerima adalah daripada Miri.”

Tambah beliau, kementerian akan merancang projek yang lebih spesifik untuk meningkatkan golongan sasar pada masa hadapan.