BN tidak takut perubahan

0

MIRI: Perubahan dalam kerajaan dan segenap aspek pelaksanaannya telah pun dilaksanakan di hadapan mata dan ia sebenarnya perlu dilakukan secara teratur.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, setiap perubahan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya lebih baik secara berperingkat-peringkat.

“Transformasi atau perubahan sebenarnya sudah pun berlaku sejak dua tahun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memegang tampuk pemerintahan,” kata Koh dalam ucapannya pada Majlis Perjumpaan Mesra Bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Penduduk (RC) Majlis Bandaraya Miri (MBM) di sini, tengah hari semalam.

Turut hadir dalam majlis ialah calon kerusi Piasau, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, calon kerusi Senadin, Datuk Lee Kim Shin, calon kerusi Pujut, Andy Chia dan Datuk Bandar MBM, Lawrence Lai serta timbalannya, Mohd Chee Kadir.

Menurutnya, perubahan mestilah dilakukan dalam cara yang positif dan bukan secara negatif mahupun secara mengejut seperti yang diperjuangkan oleh sesetengah kelompok pemimpin.

“Kita tidak takut dengan perubahan, tetapi dengan syarat, ia mestilah ke arah yang betul dan positif, bukannya semberono atau sembarangan,” jelas beliau lagi.

Pada masa sama, beliau memberitahu bandar raya Miri merupakan contoh terbaik perubahan yang dilaksanakan di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya pernah ke Miri 20 tahun lepas di mana ia masih bandar kecil sahaja, tetapi cuba kita lihat sekarang, ia sudah menjadi bandar raya kedua terbesar di Sarawak,” katanya.

Perubahan yang ketara tersebut menurut beliau tidak akan terlaksana jika tidak melibatkan sokongan daripada peringkat akar umbi dan juga melalui landasan kepimpinan atasan.

Menyentuh mengenai Pakatan Rakyat (PR), Koh mengatakan bahawa mereka sedang berpecah-belah dan tidak sehaluan. “Mereka (PR) gagal membentuk kabinet bayangan, siapa bakal menjadi Perdana Menteri jika mereka berjaya membentuk kerajaan pun tidak diketahui,” ujar beliau.

Semalam, satu perjumpaan antara 25 RC seluruh Miri di mana 27 kaunselor dilantik oleh MBM untuk bertanggungjawab ke atas setiap RC.