Pendidikan terjamin

0

K’jaan belanja besar tambah baik kemudahan pendidikan

PANDAINYA: Muhyiddin mendengar seorang kanak-kanak prasekolah SeDidik membaca di SeDidik Rumah Sait Jaya sambil disaksikan oleh Talib (kiri), semalam.

BINTULU: Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran telah membelanjakan sekitar RM35 bilion setahun sejak 54 tahun lalu untuk menambah baik dan meningkatkan kemudahan pendidikan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan telah mengira berapa banyak sekolah telah dibina untuk keperluan pendidikan rakyat di negara ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah mengarahkan agar dibina seberapa banyak prasekolah di negara ini untuk manfaat dan menempatkan 700,000 anak-anak di negara ini.

Katanya, seramai 5.6 juta pelajar belajar di sekolah kerajaan di negara ini secara percuma turut diberi jaminan pendidikan.

Ujarnya, ia bukan membabitkan soal pendidikan sahaja bahkan yang lain-lain pun kerajaan umumkan jumlah peruntukan yang sangat besar.

Hari ini, katanya, beliau datang hendak melihat prasekolah yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kerajaan Negeri Sarawak melalui SeDidik SEDC yang berkos RM96,209 yang jauh lebih rendah harganya berbanding di Sabah yang berkos RM300,000.

“Kita juga bagi RM5.2 juta bagi pembinaan 30 pusat prasekolah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pelancaran 12 Pusat Prasekolah SeDidik Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan di Prasekolah SeDidik SEDC Rumah Panjang Sait Jaya, Jalan Bintulu-Tatau semalam.

Beliau berkata, pembinaan prasekolah di rumah panjang akan memudahkan ibu bapa ke prasekolah berdekatan rumah mereka membantu anak-anak bersama tenaga pengajar yang ada supaya tidak terbiar.

“Inilah harapan saya agar kerjasama baik kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dapat diperkukuhkan lagi untuk membina lebih banyak prasekolah di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 72 peratus prasekolah telah disediakan di negara ini dan kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan penyediaan pusat itu kepada 87 peratus pada tahun depan dan seterusnya 100 peratus.

Beliau berkata, usaha ini penting melalui penglibatan ibu bapa untuk meningkatkan pendidikan anak-anak di negeri ini bagi memastikan rakyat dapat keluar dari garis kemiskinan.

“Anak-anak yang menjadi golongan terpelajar akan dapat berdiri di kaki sendiri serta dapat terlibat dalam pelbagai bidang contohnya perniagaan untuk memajukan diri dan keluarga,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Muda Pelancongan merangkap Pengerusi SEDC yang juga calon BN bagi kerusi DUN Jepak

Datuk Talib Zulpilip, Peng-urus Besar SEDC Datu Dr Sulaiman Husaini, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Da-tuk Dr Rosli Mohamed, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Abdul Ghafar Mahmud, Residen Bintulu Ismail Mohd  Hanis dan Tuai Rumah Sait Jaya.