Rancangan besar satu generasi untuk S’wak: Taib

0

MUKAH: Rancangan besar selama satu generasi akan dilaksanakan di Sarawak kerana negeri ini mempunyai lebih 20,000 megawat elektrik yang berpotensi dihasilkan oleh beberapa loji jana kuasa hidro baharu.

Selain itu, pemilikan lebih setengah bilion stok arang batu membolehkan penjanaan tenaga elektrik yang mencukupi untuk menampung keperluan semua sektor industri berat di negeri ini dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mendedahkan perkara itu semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah Tapak Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak Kampus Mukah, di sini pagi semalam.

“Kita di negeri ini merancang pembangunan sepanjang 20 tahun akan datang adalah bersandarkan kepada kebolehan mengeksploitasi potensi tenaga elektrik sehingga ke tahap maksimum.

“Oleh sebab itu, kita bina loji jana kuasa hidro Murum. Pada masa sama, kita sedang melakukan kajian kemungkinan dan teknikal terhadap dua lagi sungai berpotensi di Ulu Baram dan Pelagus,” jelasnya.

Beliau memberitahu, sokongan loji jana kuasa arang batu di Matadeng, di sini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran elektrik domestik untuk sekurang-kurangnya 6,000 megawat menjelang tahun 2020.

Menyedari hakikat itu, beliau menyifatkan pembinaan UiTM Mukah sebagai persediaan terbaik dalam melahirkan lebih ramai profesional untuk memenuhi pasaran guna tenaga kerja di negeri ini pada masa depan.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.51 Balingian itu kemudian menyempurnakan pelancaran Program Mengubah Destini Anak Bangsa melibatkan 21 pelajar UiTM Mukah untuk pengambilan sesi Mei depan.

UiTM Mukah memiliki tapak seluas 500 ekar, namun hanya 63 ekar yang dimajukan untuk blok pentadbiran, akademik, perpustakaan, dewan serba guna, kuarters dan ke-mudahan sokongan dengan kos            RM291 juta.

Hadir sama, isteri beliau Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Ahli Parlimen Mukah Dato Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad serta Naib Kanselor UiTM Datuk Profesor Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Berucap merasmikan bangunan baharu Gereja Sts Peter & Paul di sini, petang semalam pula Ketua Menteri meminta penduduk negeri ini menolak golongan pelampau agama yang boleh merosakkan per-     paduan.

“Kehidupan bertoleransi, harmoni dan bersatu padu yang dipraktikkan penduduk negeri ini sejak sekian lama perlu dipertahankan. Jangan benarkan pelampau agama merosakkannya,” katanya.

Taib menambah, terdapat pihak tertentu yang memang suka menyaksikan penduduk negeri ini berpecah-belah untuk memudahkan mereka merealisasikan agenda berkepentingan peribadi.