Calon Bebas Sebuyau minta pengundi balik kampung

0

KUCHING: Calon Bebas kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau, Ali Semsu meminta mereka yang layak mengundi di kawasan terbabit balik ke kampung masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

Ali yang menghadapi cabaran tiga penjuru bagi DUN N22 Sebuyau akan menentang calon Barisan Nasional (BN) Julaihi Narawi dan calon PAS Adam Ahid pada Pilihan Raya DUN Sarawak Ke-10 pada 16 April ini.

“Saya meminta pendudukSebuyau yang berada di mana sahaja di negeri ini terutamanya di Kuching agar dapat balik ke kampung sekejap untuk menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Menurut Ali, beliau telah berkempen dari rumah ke rumah di beberapa kampung dalam kawasan Sebuyau untuk meraih undi. Beliau yang pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2008 lalu, berkata pendekatannya untuk meraih undi adalah dengan berjumpa para penduduk kampung di kawasan itu.

“Saya tidak menjamin kemenangan tetapi saya percaya mampu meraih sokongan para penduduk di kawasan Sebuyau,” katanya yang berasal dari Kampung Sebangan, Sebuyau.

Sementara itu, calon BN yang juga penyandang kerusi Sebuyau Julaihi Narawi yakin mampu mempertahankan kerusinya pada pilihan raya kali ini meskipun ditentang dua pencabar.

Julaihi yang sudah dua penggal menyandang kerusi N22 Sebuyau telah mendapat sokongan padu penduduk kampung untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di kawasan terbabit.

“Saya yakin mampu mempertahankan kerusi BN untuk kawasan Sebuyau memandangkan masih menerima sokongan padu daripada rakyat,” katanya.