‘Serangan mesra’ ragut nyawa dua askar AS

0

WASHINGTON: Satu serangan peluru berpandu pesawat automatik membunuh seorang anggota Marin dan seorang anggota kor Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) tanpa sengaja pada minggu lepas, dalam apa yang dipercayai insiden pertama di mana anggota tentera AS telah terbunuh dalam satu insiden “serangan mesra” membabitkan sebuah pesawat automatik, kata pegawai pertahanan kelmarin.

Pihak tentera telah melancarkan siasatan ke atas insiden tersebut yang dipercayai berpunca daripada kekeliruan di atas medan perang di wilayah selatan Helmand, kata pegawai AS.

Jet pejuang dan helikopter perang biasanya dikerah untuk memberikan sokongan udara kepada anggota tentera perikatan yang terperangkap dalam serangan pemberontak, manakala pesawat automatik cenderung digunakan untuk operasi memburu ketua Taliban.

Serangan berkenaan meragut nyawa Kelasi Tentera Laut Benjamin Rast, 23 dari Niles, Michigan, dan Staf Sarjan Jeremy Smith, 26, dari Arlington, Texas, kata pegawai.

NBC News, yang mula-mula melaporkan insiden itu, berkata kedua-dua anggota tentera merupakan sebahagian daripada sebuah unit yang diarah membantu anggota Marin yang diserang hebat oleh puak pemberontak di luar Sangin, yang sekian lama menjadi medan pertempuran sengit.

Anggota Marin berdekatan Sangin, yang melihat siaran video dari pesawat automatik bersenjata Predator di udara, melihat imej-imej inframerah bergerak ke arah mereka dan mungkin menyangka “tompok panas” itu adalah pemberontak dan bukan anggota Marin lain, NBC melaporkan.

Siasatan ke atas insiden pada minggu lepas menyusuli laporan terperinci dalam akhbar Los Angeles Times tentang satu serangan pesawat automatik pada Februari lalu yang tidak menjadi sama sekali.

Dalam serangan pada Februari itu, pengendali sebuah pesawat automatik AS dan tentera operasi khas menyangka konvoi orang awam Afghan yang menaiki beberapa kenderaan adalah sebuah unit Taliban yang sedang bergerak masuk.

Serangan berdekatan sebuah kampung di wilayah Oruzgan membunuh 15 atau 16 lelaki, seorang wanita dan tiga kanak-kanak, kata tentera AS, bagaimanapun kerajaan Afghan percaya 23 orang terbunuh, termasuk dua kanak-kanak. — AFP