Gagal meraih kerusi parlimen, Hanson cari jalan lain

0

PENUH HARAPAN: Hanson memerhati kiraan pemilihan dalam usahanya meraih kerusi dalam parlimen New South Wales, di Sydney, semalam. — Gambar AFP

SYDNEY: Bekas ahli politik yang kontroversi di Australia, Pauline Hanson gagal tipis dalam usahanya untuk memenangi kerusi dalam parlimen New South Wales semalam, tetapi berkata beliau akan menimbang untuk menubuhkan partinya sendiri.

Wanita berusia 56 tahun yang lantang itu, dan dikenali kerana pendiriannya mengenai anti-imigresen serta dasar pelindungan dagangan ketika menjadi pemimpin parti One Nation, kelihatan kemungkinan besar akan memenangi kerusi terakhir Senat selepas kiraan terakhir dari pilihan raya pada 26 Mac lalu.

Namun walaupun mendahului pilihan pertama pengundi, bekas pemilik kedai ikan dan kentang goreng itu dipintas apabila pilihan kedua dan seterusnya dibuat menerusi pengagihan komputer.

“Saya sangat kecewa kerana tidak memenangi kerusi itu, namun cukup gembira dengan keputusan yang diperolehi,” kata Hanson yang bertanding sebagai calon bebas, kepada pemberita di Sydney.

Hanson, yang menjadi terkenal pada 1990-an selepas memenangi kerusi dalam parlimen kebangsaan dan memberi amaran Australia berisiko dibanjiri orang Asia, enggan menamatkan peluangnya dalam politik.

Ditanya sama ada beliau akan menimbang untuk menubuhkan partinya sendiri, katanya: “Ia akan dipertimbangkan.”

Hanson mendakwa menerima undian peribadi yang kuat dan pilihan raya negeri New South Wales menunjukkan “rakyat sudah bosan dengan parti-parti politik besar. Rakyat mahukan undi yang jujur di dalam parlimen”.

“Saya tidak dapat mengetepikan undian yang diperolehi,” katanya.

Hanson telah melancarkan beberapa usaha yang gagal untuk kembali ke dunia politik selepas kehilangan kerusinya dalam parlimen persekutuan pada 1998, termasuk pemilihan 2007 bagi kerusi senat kebangsaan di mana beliau berkempen untuk menamatkan kemasukan pendatang Islam bagi melindungi “budaya Australia”. — AFP