Kementerian punyai perancangan jangka panjang kerana potensinya: Liow
MIRI: Hospital Miri akan menjadi sebuah hospital pakar penuh dan mampu memberikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat khususnya di kawasan utara Sarawak.
Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ia adalah perancangan masa panjang Kementerian Kesihatan, memandangkan hospital tersebut berpotensi menjadi hospital pakar penuh.
“Dalam perancangan masa panjang, iaitu dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, kementerian akan memperbesarkan Hospital Miri kerana kita rasa hospital ini berpotensi menjadi sebuah hospital pakar penuh untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada para pesakit khasnya di kawasan utara Sarawak.
“Oleh itu, rancangan memperbesarkan wad-wad dan menambah kepakaran adalah akan dipercepatkan dan kita akan mengumumkannya apabila semuanya selesai kelak,” jelasnya dalam sidang media selepas merasmikan majlis pra pembukaan projek tempat letak kereta baru Hospital Miri di sini petang semalam.
Selain itu katanya, kementerian turut menyediakan peruntukan khas bernilai RM236,000 untuk menanggung kos perbelanjaan pesakit yang kurang mampu bagi mendapatkan rawatan rujukan di luar Sarawak.
“Peruntukan khas ini adalah untuk membantu pesakit yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan rawatan rujukkan seperti ke hospital di Kuala Lumpur. Peruntukan ini juga termasuk untuk menampung kos tambang bagi pesakit yang tinggal di kawasan pedalaman yang mendapatkan rawatan di sini,” katanya.
Mengulas mengenai tempat letak berkenaan, beliau berkata kementerian kesihatan telah memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi projek pembinaan temapat letak kereta tambahan fasa pertama dan dijangka akan siap sepenuhnya dalam masa dua minggu.
Sementara itu, pembinaan tambahan bilik-bilik bedah, wad penyakit berjangkit dan pembinaan Tabung Darah Zon Utara Sarawak akan turut dilaksanakan tidak lama lagi.
Menurutnya, ia merupakan projek yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
Hadir sama petang semalam ialah Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Rosnah Shirlin Abdul Rashid, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Hassan Abdul Rahman, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Zulkifli Jantan, Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong dan Datuk Sebastian Ting.