PKR kemukakan tiga permintaan

0

Nurul gesa pengisytiharan darurat ditamatkan, tingkatkan royalti minyak untuk S’wak

KUCHING: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar mengemukakan tiga permintaan kepada Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Menurut kenyataannya itu, beliau dengan tegas menggesa kerajaan persekutuan menamatkan Pengisytiharan Darurat Sarawak 1966 bagi menuntut hak-hak rakyat Sarawak dengan memastikan Perjanjian Lapan Belas dengan Malaysia dipenuhi sepenuhnya dan mendesak kerajaan pusat meningkatkan royalti minyak negeri Sarawak kepada 20 peratus (%).

“Hari ini (semalam) genap sembilan hari selepas keputusan pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April 2011 diumumkan. Walaupun proses pilihan raya dicemari insiden penipuan pilihan raya serta kelemahan proses pilihan raya dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, saya mengakui dan menghormati kemenangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak,” jelas beliau dalam kenyataannya.

“Justeru bagi memastikan kesinambungan dan konsistensi manifesto Pakatan Rakyat (PR) Kebangsaan dan usaha-usaha berterusan kami untuk memenuhi janji-janji kami, saya mahu Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memenuhi tiga permintaan yang saya buat menerusi surat rasmi yang telah dihantar (kepada beliau) pagi ini,” kata Nurul dalam kenyataan akhbarnya di sini semalam.

Mengenai Pengisytiharan Darurat Sarawak 1966, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata beliau telah menghantar (pada 24 Mac 2011) dokumen bertajuk ‘Akta Pemansuhan Darurat’ selaku Ahli Parlimen untuk tidak hanya menamatkan era darurat di Sarawak tetapi di seluruh Malaysia.

“Malangnya, walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz telah bersetuju dan mengesahkan kesediaan Peguam Negara memansuhkan pengisytiharan darurat, kerajaan persekutuan kekal mengingkarinya dan tidak bersedia untuk memansuhkan pengisytiharan ini,” katanya.

Anak kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menambah: “Bukan itu sahaja kerajaan pusat tidak bersedia, sebarang dokumen dikeluarkan oleh mana-mana Ahli Parlimen akan ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.”

Selain itu katanya Taib harus mendesak kerajaan persekutuan meningkatkan royalti minyak untuk Sarawak sebanyak 20% demi kebaikan rakyat Sarawak dan dengan itu kekayaan Sarawak boleh dikongsi oleh semua rakyat negeri ini.

“Semua tuntutan ini dilakukan sejajar dengan usaha untuk memastikan kerajaan negeri Sarawak yang baru, yang telah mendapat mandat baru (daripada rakyat), bertindak sewajarnya bagi membuktikan komitmennya dan keikhlasannya kepada rakyat dalam memastikan hak-hak dan keperluan mereka diutamakan, mengatasi kepentingan mana-mana pemimpin politik,” tambah Nurul lagi.