Wakil rakyat Pelagus pilih untuk kekal neutral

0

KUCHING: Wakil rakyat Bebas yang berjaya memenangi kerusi Pelagus, George Lagong membuat keputusan untuk kekal neutral apabila Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung tidak lama lagi.

Walaupun beliau secara teknikalnya merupakan pembangkang selepas bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN), Stanley Nyitar pada pilihan raya negeri baru-baru ini, George memberitahu bahawa beliau memilih untuk menyesuaikan diri dengan peranan baru sebagai wakil rakyat terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk memihak kepada mana-mana parti.

“Setakat ini, saya bersendirian. Saya belum mempunyai rancangan mengenai tindakan seterusnya. Tunggu dahulu semuanya reda,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ditanya sama ada beliau akan memilih sebagai calon mesra-BN seperti wakil rakyat Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa apabila beliau menang pada pada 2006 dengan tiket Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), George memilih untuk tidak mendedahkan sebarang maklumat buat masa ini.

Bagaimanapun, sekiranya beliau mengikuti jejak langkah Dr Rayong, peluang George dimasukkan ke dalam BN menerusi parti komponen PRS (yang diperuntukkan kerusi Pelagus) agak besar dengan mengambil kira Dr Rayong yang kemudiannya diserap masuk ke dalam SUPP pada 2010 dan dipertandingkan oleh parti pada pilihan raya negeri yang baru selesai.

Wakil rakyat Engkilili itu mempertahankan kerusinya pada perlawanan empat penjuru dengan undi majoriti sebanyak 3,807.

Ditanya jika beliau mahu menyertai PRS, George juga memilih untuk berdiam diri mengenai perkara itu bagi mengelakkan sebarang spekulasi masa depan.

George turut memberitahu bahawa beliau tidak mempunyai sebarang cadangan untuk menyertai parti pembangkang seperti yang didakwa baru-baru ini bahawa beliau akan menyertai PKR.

“Saya ingin meneliti semua pilihan yang ada. Tetapi setakat ini, saya belum mempunyai sebarang rancangan,” katanya.

George bertanding atas tiket Bebas dan memenangi Pelagus dengan majoriti sebanyak 2,837 apabila beliau memperolehi 5,740 undi berbanding Stanley 2,903 manakala calon PKR, Edward Sumbang Asun memperolehi 1,171 undi.