Penduduk sokong Harden dilantik menteri penuh

0

SRI AMAN: Penduduk Kampung Dayak Baru Kejatau menyatakan sokongan penuh agar Datuk Francis Harden Hollis dilantik menjadi menteri penuh dalam kabinet negeri Sarawak nanti.

Tuai Rumah Kampung Dayak Baru Kejatau Umbek Achat berkata, Harden selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang layak diberi amanat dilantik menjadi menteri penuh dalam kabinet negeri Sarawak memandangkan anak jati Sri Aman  itu seorang wakil rakyat yang rajin bekerja.

Menurut Umbek,  49 keluarga di Kampung Dayak Baru Kejatau yang dipimpinnya itu menaruh harapan agar Harden memegang jawatan menteri penuh berdasarkan kepada pengalamannya ketika memegang jawatan menteri muda sekarang ini.

“Berdasarkan itu maka Harden layak diberi peluang untuk memegang portfolio menteri penuh demi sama-sama menikmati arus pembangunan ke tahap lebih cemerlang,” katanya kepada Utusan Borneo, di sini, semalam.

Umbek berkata, Harden yang bertanding atas tiket Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dalam pilihan lalu merupakan seorang wakil rakyat yang tidak akan berkata ‘tidak’ terhadap pelawaan rakyatnya  untuk menyertai sesuatu aktiviti atau program di kawasan mereka.

Dalam masa yang sama wakil rakyat itu amat mudah mendampingi rakyat seperti sifat mendiang ayahnya Hollis Tini yang pernah menjadi ADUN kawasan Simanggang dari 1973 hingga 1983, ujarnya.

Umbek yang juga pesara Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman itu turut menambah bahawa DUN Simanggang tidak pernah mempunyai seorang menteri penuh sehingga sekarang melainkan mendiang Datuk Tawi Sli selaku Ketua Menteri dari 1966 hingga 1970.

“Sehubungan itu kami berharap agar Harden diberi peluang untuk memegang jawatan menteri penuh berdasarkan prestasi cemerlangnya selama ini,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama ADUN Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa daripada SUPP juga diramalkan akan dilantik menjadi Menteri Muda dalam kabinet negeri Sarawak.

Dalam pilihan raya negeri lalu SUPP bertanding 19 kerusi tetapi hanya enam kerusi sahaja yang menang yang kebanyakannya kerusi majoriti pengundi Bumiputera.