Penjaja di luar kawasan SK Samariang dikhuatiri jual makanan tidak sihat

0

KUCHING: Penjaja di luar kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Samariang dikhuatiri menjual makanan yang tidak mematuhi spesifikasi makanan sihat.

Utusan Borneo/The Borneo Post difahamkan  oleh pihak yang mengambil berat aspek itu di sekolah terbabit, bahawa makanan seperti jeruk dan minuman menggunakan air yang tidak dimasak dijual kepada murid-murid sekolah berkenaan.

Difahamkan juga penjaja ha-ram beroperasi setiap hari bermula jam 6.30 hingga 7.10 pagi dan 12 tengah hari sehingga 1.30 petang.

Sehubungan itu, pihak ber-kuasa tempatan (PBT) diharap mengambil tindakan terhadap penjaja haram yang boleh meng-ancam keselamatan pemakanan murid-murid.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen beliau mengenai fenomena kurang sihat yang dilakukan oleh penjaja haram terbabit.

Bagaimanapun, Utusan Borneo berjaya mendapatkan penjelasan daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang menyifatkan aktiviti mengusir penjaja haram daripada berope-rasi adalah seperti permainan ‘kucing dan tikus’.

“Tindakan yang selalu dilakukan oleh pihak penguat kuasa adalah memberi amaran secara lisan, amaran bernotis, amaran bertulis sebanyak tiga kali dan baru akan disita,” kata Pegawai Perhubungan Awam DBKU Norhayati Bidin ketika dihu-bungi Utusan Borneo semalam.

Bagaimanapun, beliau turut menyatakan bahawa makanan yang dijual oleh penjaja haram itu tidak boleh diambil sampel kerana menyifatkan ia sebagai mengiyakan aktiviti berjaja di kawasan terbabit.

“Ia berlainan dengan premis yang sah, yang mana kita boleh mengambil sampel sah makanan dan menghantarnya untuk pemeriksaan di makmal untuk memastikan sama ada ia selamat dimakan atau tidak,” jelasnya.

Namun begitu pegawai DBKU sentiasa menjalankan operasi dari semasa ke semasa untuk membanteras aktiviti penjajaan haram, ujarnya.

Utusan Borneo turut mengenal pasti sebuah lagi sekolah di kawasan Samariang yang meng-alami masalah penjaja haram semalam.